Bayaran daftar baharu, pembaharuan MyRTKnet dikurang 50 peratus

Iklan
Takiyuddin

SHAH ALAM- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bersetuju untuk mengurangkan jumlah bayaran bagi pendaftaran baharu dan juga pembaharuan semula lesen langganan perkhidmatan penentuan kedudukan dan pelarasan koordinat sejagat (MyRTKnet) sebanyak 50 peratus daripada RM1,000 setahun kepada RM500 setahun.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemudahan itu berkuat kuasa untuk tempoh satu tahun langganan sahaja kepada semua pengguna MyRTKnet yang baharu mendaftar atau memperbaharui lesen mereka antara 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengurangan jumlah bayaran itu akan dinikmati sekurang-kurangnya seramai 383 orang pengguna berdaftar sedia ada dengan Jupem yang terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, juruukur tanah berlesen, pihak sekolah dan juga universiti.

"Melalui kemudahan ini, sekurang-kurangnya sebanyak RM191,500 penjimatan diberikan kepada semua pengguna berdaftar sistem MyRTKnet sedia ada dan dijangka akan terus bertambah dengan penarikan lebih ramai pendaftaran pengguna baharu.

Iklan

"Kemudahan yang diberikan ini adalah sebagai tanggungjawab sosial kementerian ini dalam mendukung inisiatif kerajaan bagi memulihkan semula ekonomi negara dan meringankan beban sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, perkhidmatan MyRTKnet dapat memberikan kedudukan geografi atau koordinat yang jitu kepada semua pengguna alat-alat penentu kedudukan sejagat atau Global Positioning System (GPS).

Iklan

Jelasnya, ia juga telah terbukti dapat mempercepatkan kerja ukuran hakmilik dan pemetaan topografi di lapangan.

"Perkhidmatan ini sangat penting terutamanya dalam mempercepatkan proses pengeluaran geran hak milik dan pembangunan tanah yang akhirnya mampu memangkin peluang-peluang pembangunan ekonomi rakyat.

"Setanding dengan negara maju yang menggunakan Sistem Torrens seperti Australia iaitu sistem pengurusan pemilikan tanah serta mengenal pasti ciri-ciri pemilikan tanah, perkhidmatan MyRTKnet ini mampu memberikan nilai tambah dalam mengesan penentuan lokasi penanda sempadan dengan lebih mudah, tepat dan cepat bagi urusan pemilikan tanah,” ujarnya.