Penduduk kampung sedia terima kedatangan pelancong

Iklan
Cabin Chalet Gunung Pulai diusahakan penduduk Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai.

KULAI - Selepas ditutup lebih setahun, penduduk Kampung Sri Gunung Pulai di sini kembali sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan naik taraf sebagai persediaan menerima pelancong ke kampung tersebut yang terkenal dengan air terjun Gunung Pulai.

Kebenaran rentas negeri diumumkan pada Ahad memberi harapan kepada lebih 600 penduduk, kebanyakannya merupakan ahli Koperasi Sri Sekawan Kulai Berhad yang terlibat aktiviti pelancongan seperti cabin chalet, inap desa dan restoran.

Iklan
Iklan

Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulai Berhad, Jamalludin Abdol Hamid, 54, berkata, pandemik Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan menjejaskan perusahaan ekopelancongan di situ.

"Gunung Pulai pernah merekodkan kedatangan sehingga 20,000 pengunjung sebulan. Pada cuti umum, dianggarkan seramai 13,000 pengunjung datang ke sini, manakala purata 5,000 pengunjung pada hujung minggu.

Iklan

"Cabin Chalet Gunung Pulai juga sebelum ini menjadi tumpuan pelancong tempatan selain Singapura sehingga perlu ditempah dua bulan awal sekiranya mahu menginap di situ. Namun, sejak PKP, keadaan di sini menjadi sepi,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Pengunjung mula mengunjungi kawasan air terjun di Cabin Chalet Gunung Pulai, Kulai.

Jamalludin berkata, peralihan Johor ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu menghidupkan semula sektor pelancongan di kampung berkenaan sehingga menyebabkan tempahan Cabin Chalet Gunung Pulai penuh.

Iklan

Beliau berkata, sebanyak RM40,000 dibelanjakan pihak koperasi untuk kerja-kerja pembaikan chalet setelah lebih setahun tidak dapat beroperasi.

"Bagaimanapun, pelancong yang sudah lengkap dua vaksin sahaja diterima untuk menginap dan berkunjung ke kampung ini.

"Prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi seperti penjarakan sosial dan mengimbas suhu badan,” katanya.

Sementara itu, Jamalludin bercadang mewujudkan aktiviti pertanian fertigasi dan ternakan di dalam kawasan chalet sebagai tarikan baharu.

Jamalludin menunjukkan tamanan bendi yang ditanam secara fertigasi merupakan antara produk pelancongan baharu di Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai.

"Berdasarkan pengalaman berdepan pandemik Covid-19, kita tidak boleh bergantung kepada sektor pelancongan semata-mata.

"Sektor pertanian paling sesuai untuk penduduk kampung dengan penggunaan teknologi tanaman baharu seperti tanaman fertigasi,” katanya.