SHAH ALAM - Perunding Kewangan, Khairul Bariyah Abdul Rahim mencadangkan Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan dapat meningkatkan sektor pendidikan bagi menambah modul pengurusan kewangan dalam pembelajaran.
Menurutnya, modul tersebut penting bagi memastikan anak muda mendapat pencerahan awal berkaitan perbelanjaan.
"Memang kita ada Matematik, Prinsip Akaun tetapi pengurusan kewangan yang sebenarnya kena ada supaya generasi muda tidak terjebak dengan muflis di awal usia,” katanya pada program MUM episod ke-14 yang bertajuk Mak-Mak: Menteri Kewangan yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Isnin.
Turut menjadi panelis ialah Usahawan atau Pengasas Nims Adeliciousz, Tengku Norhanim Tengku Othman manakala Hazlin Hussain sebagai pengacara.
Mengulas lanjut, Khairul Bariyah berkata, selain fokus kepada akademik, kerajaan juga perlu memberikan fokus kepada bahagian kemahiran pelajar.
"Terdapat dua sifat manusia iaitu fokus pada akademik dan kemahiran. Ada juga yang fokus pada kedua-duanya. Jadi pada kemahiran juga perlu difokuskan bagaimana untuk menguruskan kewangan.
"Sebelum muflis, mesti ada sebab-sebab kenapa kita berada di tempat ini. Maksudnya mungkin kita banyak komitmen tetapi kita kena kawal. Buang yang tidak perlu,” ujarnya.