SHAH ALAM- Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia merosot -10.2 peratus kepada RM100.0 bilion pada Ogos 2021 berbanding Ogos 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia adalah pertumbuhan negatif dua digit ketiga berturut-turut selepas penurunan -14.7 peratus pada bulan Julai dan -10.3 peratus pada bulan Jun.
Walaubagaimanapun, menurut beliau, nilai jualan sektor itu tumbuh 7.9 peratus bulan ke bulan didorong oleh kebenaran beroperasi semula 11 sektor ekonomi dan pengedaran di negeri-negeri fasa satu dan fasa dua di bawah Pelan Pemulihan Negara.
"Subsektor kenderaan bermotor merosot -57.6 peratus atau RM7.9 bilion untuk mencatatkan RM5.8 bilion pada Ogos 2021. Perdagangan runcit juga turun -7.5 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM42.3 bilion.
"Ini diikuti oleh perdagangan borong yang turun -0.1 peratus untuk mencapai RM51.9 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pertumbuhan -57.6 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan Ogos 2021 adalah disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot -60.9 peratus atau RM4.8 bilion kepada RM3.1 bilion.
Katanya, ia diikuti dengan jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dengan -47.2 peratus untuk mencatatkan RM1.7 bilion.
"Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga menurun -48.6 peratus kepada RM0.9 bilion diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dengan pertumbuhan -79.0 peratus untuk mencapai RM0.8 bilion.
"Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 188.1 peratus, dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang mencatatkan 135.5 peratus setelah bilik pameran dan pusat jualan kereta dibenarkan beroperasi di negeri-negeri utama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, mengenai subsektor perdagangan runcit, katanya, penguncupan -7.5 peratus disebabkan oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang merosot -14.8 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM8.1 bilion.
Menurut beliau, jualan runcit di kedai bukan pengkhususan juga merosot -8.1 peratus kepada RM15.4 bilion dan diikuti oleh jualan runcit barangan isi rumah -7.5 peratus, jualan runcit bahan api kenderaan -6.2 peratus.
"Ia diikuti jualan runcit peralatan informasi dan komunikasi -0.9 peratus, jualan runcit makanan, minuman dan tembakau -1.3 peratus, dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi -1.4 peratus.
"Walaubagaimanapun, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar serta jualan runcit di gerai dan pasar masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 20.8 peratus dan 5.9 peratus.
"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit naik 2.9 peratus dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif,” katanya.
Mohd Uzir menjelaskan, penurunan -0.1 peratus dalam subsektor perdagangan borong pada bulan ini disebabkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang menurun -9.7 peratus atau RM1 bilion kepada RM9.7 bilion.
Tambahnya, ini diikuti oleh jualan borong jentera, peralatan dan bekalan serta jualan borong berdasarkan yuran atau kontrak yang masing-masing jatuh -6.7 peratus dan -19.4 peratus.
Kata beliau, lain-lain pengkhususan jualan borong, jualan borong makanan, minuman dan tembakau serta jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup masing-masing meningkat 5.1 peratus, 3.4 peratus dan 3.9 peratus.
"Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 4.7 peratus,” ujarnya.
Mohd Uzir memaklumkan, indeks jualan runcit melalui internet merekodkan pertumbuhan 13.8 peratus tahun ke tahun.
Jelasnya, bagi pelarasan musim, indeks ini meningkat 1.7 peratus berbanding bulan sebelum.
''Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan -12.2 peratus tahun ke tahun. Penguncupan ini disebabkan oleh kenderaan bermotor yang menjunam -59.0 peratus.
"Ini diikuti oleh perdagangan runcit dan perdagangan borong yang jatuh masing-masing -8.1 peratus dan -3.3 peratus. Sementara itu, indeks volum pelarasan musim meningkat 5.3 peratus bulan ke bulan,” ujarnya.