KUALA TERENGGANU - Empat nelayan termasuk tekong warga Vietnam dikenakan denda RM1.3 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah menggunakan bot klon.
Tekong, Vo Minh De, 31, dikenakan denda RM1 juta atau tiga tahun penjara manakala bagi tiga lagi nelayan, Nguyen Hoang Thu, 21, Vo Phuoc Phong dan Tran Van Phong, 24, dikenakan denda RM100,000 setiap seorang atau dua tahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Iklan
Iklan
Hakim Azman Mustapha memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap kesemua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didapati menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan PAF 4836 di perairan perikanan Malaysia pada jarak lebih kurang 70.2 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.30 pagi, pada 5 Jun 2018.
Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(3) (b) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan dibaca bersama Seksyen 24(1) Akta yang sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25(a) dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perikanan 1985 (Akta 317).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan.
Mahkamah juga memerintahkan semua barang kes iaitu vesel, peralatan menangkap ikan, hasil lelongan tangkapan dan minyak diesel dilucutkan kepada Kerajaan Malaysia.