SHAH ALAM - Polis Selangor akan menggerakkan anggotanya bagi melakukan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan seluruh negeri ini khususnya pada cuti hujung minggu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, langkah itu adalah susulan daripada penarikan larangan rentas negeri yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
"Anggota bertugas akan memberi fokus kepada operasi 'snap check' bagi memastikan setiap pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Disebabkan kerajaan telah memberi kebenaran rentas negeri, jadi kita telah bersiap sedia untuk melakukan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan yang dikenalpasti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Arjunaidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan Polis Selangor dalam melakukan pemantauan terhadap orang ramai dalam pematuhan SOP susulan kelonggaran diumumkan kerajaan sebelum ini.
Ahad lalu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Isnin, 11 Oktober.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan keputusan itu, rakyat Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.
Dalam perkembangan sama, Arjunaidi turut menasihati orang ramai agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan susulan daripada kelonggaran diumumkan itu.
"Sekiranya ada pihak didapati melanggar peraturan ditetapkan, tindakan akan diambil mengikut peruntukan yang ditetapkan," katanya.