Empat agensi mahu larangan kelapa sawit Eropah dibalas

Iklan

KUALA LUMPUR - Empat agensi persekutuan yang terlibat dalam aktiviti pertanian menggesa kerajaan untuk menghentikan sebarang rundingan membabitkan kontrak perniagaan dengan Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindak balas ke atas larangan import kelapa sawit.

Pendirian tersebut diambil selepas satu mesyuarat yang dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM).

Iklan
Iklan

Pengerusi Felcra Datuk Nageeb Wahab ketika ditemui selepas mesyuarat itu di Wisma Felcra hari ini, menegaskan tindakan itu dianggap wajar bagi menghalang cadangan EU yang mahu mengenyahkan minyak sawit daripada senarai biobahan api menjelang 2020.

Parlimen Eropah telah mengundi untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam penghasilan biobahan api di EU menjelang 2020, dengan mengelaskan pokok sawit sebagai punca kepada pemusnahan hutan hujan.

Iklan

"Ini memberi implikasi yang sangat besar ke atas penggunaan minyak sawit dan pasti akan menjejaskan pendapatan pekebun-pekebun kecil yang sudah lama menderita akibat kejatuhan harga komoditi itu.

"Jadi...kami telah memutuskan untuk membuat satu langkah serta meminta kerajaan membantu kami dan kami juga akan menyokong kerajaan melalui solidariti kami," katanya.

Iklan

Selain Nageeb, Ketua Pengarah Felda Datuk Dr Othman Omar, Pengerusi Risda Rosely Kusip dan Presiden PKPKM Datuk Aliasak Ambia turut hadir ke mesyuarat berkenaan.

Menurut Nageeb lagi, keputusan EU akan menjejaskan hampir 650,000 pekebun kecil tempatan termasuk lima juta anggota keluarga yang bergantung kepada mereka.

Sudah sampai masa untuk Malaysia bertindak secara agresif dalam menangani isu terbabit selepas terlalu lama bertolak ansur.

"Kami telah cuba meyakinkan EU bahawa secara teknikal, minyak sawit adalah baik dan bukan penyebab pemusnahan hutan, tetapi mereka enggan mendengar. Jadi, satu-satunya cara untuk menangani isu ini adalah melalui jalan politik dan ekonomi," katanya.

Katanya, keempat-empat agensi juga bersetuju untuk menghantar memorandum kepada EU dalam masa terdekat.

"Memorandum ini akan memperincikan nasib seramai 650,000 pekebun kecil dan lima juta anggota keluarga mereka yang terjejas akibat tindakan boikot produk minyak kelapa sawit oleh EU,” katanya.

Sekarang ini, EU mengimport 7.5 juta tan minyak sawit dunia, 85 peratus datang dari Malaysia dan Indonesia. – Bernama