Tarikh fasa endemik bergantung kepada impak kelonggaran

Iklan
Hishammuddin.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tarikh spesifik bagi perlaksanaan fasa endemik negara bergantung kepada kesan-kesan kelonggaran yang diumumkan kerajaan dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Mesyuarat ke-5 Menteri Kuartet Covid-19 pada Selasa telah membincangkan tarikh bagi fasa endemik namun ia hanya akan diumumkan pada waktu yang sesuai.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat ada bincangkan tarikh tapi saya tak boleh umumkan kerana hashtag kita #ReopeningSafely, jadi apa yang kita mahu umumkan mesti bersandarkan kepada data dan fakta.

"Kita lihat sekarang sekurang-kurangnya ada struktur yang kita lihat ke hadapan ke arah fasa endemik.

Iklan

"Cuma saya bimbang dengan kebenaran rentas negeri dan hapuskan MyTravelPas, memikirkan rakyat kita keluar negara, tak termasuk pembukaan sekolah, institut pengajian tinggi (IPT).

"Jadi kita akan tentukan (umumkan fasa endemik) banyak bergantung kepada apa yang akan berlaku selepas kelonggaran-kelonggaran yang kita telah umumkan dalam beberapa bulan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Bilik Media Parlimen pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat itu turut meneliti tiga fokus dalam #ReopeningSafely dan beralih ke fasa endemik.

Katanya, fokus-fokus tersebut meliputi kawalan bersasar, kesedaran terhadap virus dan pemerkasaan masyarakat.

"Di bawah fokus kawalan bersasar Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam proses merangka sistem amaran jika berlaku lonjakan kes terutama apabila negara beralih ke fasa endemik.

"Kesedaran terhadap virus penting agar masyarakat memahami dan menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama virus Covid-19. Ini menuntut kita semua memahami risiko transmisi dan pentingnya mengelak melakukan perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan.

"Akhir sekali pemerkasaan masyarakat membawa makna peranan dan tanggungjawab mencegah penularan virus Covid-19 turut perlu dimainkan oleh rakyat bersama pihak berkuasa terutama dalam menuju ke fasa endemik,” katanya.