KUALA LUMPUR – Tiada sebarang keperluan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi gelembung pelancongan di Pulau Langkawi apabila kebenaran rentas negeri telah diberikan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata, bagaimanapun keperluan SOP berkenaan mungkin perlu dibuat sekiranya melibatkan gelembung pelancongan untuk pelancong luar negara.
"Apabila kita benarkan semua rentas negeri, tiada keperluan lagi untuk wujudkan gelembung pelancongan.
"Tetapi sekiranya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri memikirkan perlu untuk kita laksanakan gelembung pelancongan ini untuk pelancong-pelancong luar negara, mungkin kita kena tunggu maklum balas MOTAC,” katanya pada sidang media di Bilik Media Parlimen pada Selasa.
Ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengeluarkan senarai negara-negara yang boleh dikunjungi susulan pemansuhan MyTravelPass, beliau menyifatkan perkara tersebut perlu dipertimbangkan namun ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).
"Saya rasa perlu kita lihat kerana ini merupakan amalan beberapa negara sebelum ini.
"Tetapi untuk tentukan dan senaraikan negara-negara berkenaan adalah di bawah tanggungjawab KKM,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, susulan kebenaran rentas negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap akan melakukan pemantauan menerusi pasukan-pasukan pematuhan SOP.
"Pemeriksaan rawak di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dibuat menerusi sekatan jalan raya (SJR) bergerak, snap check, pemantauan R&R dan SJR di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD),” katanya.
Pada masa sama, menurut Hishammuddin, Mesyuarat ke-5 Menteri Kuartet Covid-19 pada Selasa telah memperhalusi pelaksanaan garis panduan pengudaraan dan kualiti udara demi mengawal penularan virus di udara terutamanya dalam premis.
"Malah, faktor pengudaraan ini juga penting dalam kita beralih ke fasa endemik. Sehubungan itu, pihak syarikat dan industri diingatkan agar sentiasa patuh dan memastikan ruang kerja mereka mempunyai sistem pengudaraan yang baik,” katanya.