AKSI bertenaga serta persembahan yang memberangsangkan belum memadai buat skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan untuk melakar kemenangan berdepan juara Liga Premier, Negeri Sembilan FC selepas tewas 1-2 dalam satu perlawanan persahabatan pada Selasa.
Bagaimanapun, ia dilihat sebagai satu keputusan yang positif sebelum skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney itu berdepan ujian lebih getir menentang dua pasukan Liga Super Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas ini.
Pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, 45 minit pertama permainan menjadi milik skuad kendalian Maloney apabila lebih menguasai kawalan bola serta berjaya mencipta beberapa percubaan berbahaya.
Keberanian ditampilkan pemain muda negara membuahkan hasil selepas berjaya mendahului perlawanan seawal minit ke-11 menerusi percubaan Azhad Harraz Arman yang gagal ditampan kemas penjaga gol Damien Chien.
Skuad B-22 kebangsaan berpeluang menambah beberapa jaringan dalam tempoh singkat namun penyudah tumpul penyerang T Saravanan pada minit ke-36 serta minit ke-40 dan Azhad Harraz pada minit ke-37 menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan FC akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-46 selepas Alain Akono memanfaatkan kesilapan penjaga gol gantian Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
Kapten Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak turut terlepas beberapa peluang keemasan untuk meletakkan pasukan di hadapan, namun ia ditebus pemain tengah R Barathkumar pada minit ke-81, sekali gus menyelamatkan maruah pasukan.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Maloney berkata, pasukannya memang menjangkakan tentangan sengit berhadapan Juara Liga Premier tetapi tetap gembira kerana banyak faedah diperoleh daripada perlawanan itu.
"Saya rasa kami bermula dengan baik dan kami mengawal perlawanan awalnya, terutamanya di babak pertama, berjaya mendapatkan satu gol, kami mencipta beberapa peluang tetapi berkurangan pada babak kedua,” katanya.
Skuad B-22 negara dijadual bertemu Penang FC Jumaat ini dan KDA FC pada Isnin depan sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 dari 25 hingga 31 Oktober ini.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun tahun depan. - Bernama