Fasa endemik: Kita penentu segalanya

Iklan
Kerajaan melakukan pelbagai cara dan memberikan kelonggaran untuk kita kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala dan kita sama-sama bertanggungjawab menjayakan aspirasi ini.

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai tiada lagi sekatan rentas negeri pada Ahad lalu sememangnya satu khabar gembira buat rakyat di seluruh negara.

Perkhabaran itulah yang dinanti-nantikan oleh abang long, kak ngah, abang chik dan kak su kerana mereka sudah lama memendam rasa serta rindu untuk pulang ke kampung menjenguk mak serta ayah.

Iklan
Iklan

Keputusan penting yang dibuat kerajaan adalah langkah besar awal ke arah fasa endemik. Pelbagai kelonggaran diberikan secara berperingkat sebelum ini sebagai salah satu perjalanan panjang menuju norma baharu sejak lebih dua tahun lalu.

Fasa endemik bermaksud kita bersedia hidup dan menerima virus Covid-19 sebagai sebahagian daripada penyakit normal seperti mana demam, selesema, batuk dan sebagainya.

Iklan

Namun, berjaya atau tidak kita mengharungi fasa endemik semuanya terletak pada tangan kita.

Langkah pencegahan dan usaha membentengi penularan Covid-19 ini tetap bermula dengan diri kita.

Iklan

Disiplin diri, pematuhan berterusan kepada SOP, kawalan kendiri dan langkah peringatan mesti menjalani elemen utama dalam kita menjalani kehidupan seharian.

Suntikan vaksin bukanlah jaminan 100 peratus kita tidak dijangkiti virus maut itu. Vaksin hanya mampu mengurangkan risiko jangkitan lebih serius, namun sesiapa sahaja masih terdedah kepada virus Covid-19.

Bak pesan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; tiada SOP baharu yang akan diperkenalkan kerajaan apabila kita memasuki fasa endemik. SOP pandemik Covid-19 tetap menjadi SOP untuk ruang masa endemik nanti.

Pemakaian pelitup muka, membersih tangan secara kerap, penjarakan sosial dan pengawalan kendiri daripada risiko jangkitan mesti tetap diutamakan oleh rakyat.

Mampukah kita terus disiplinkan diri dalam fasa endemik nanti sama seperti kita cukup takutkan virus Covid-19 ketika fasa pandemik?

Daripada pengalaman saya sendiri, secara jujurnya sudah ada segelintir rakyat yang sedikit sebanyak mengabaikan SOP itu. Biarpun majoriti sudah biasa memakai pelitup muka, namun SOP lain seperti kerap membasuh tangan, penjarakan sosial di tempat awam sudah 'mula ke laut’.

Begitu juga dengan peraturan kerajaan yang mewajibkan mereka yang mahu menjamu selera di restoran, kedai makan mahupun kafe tidak dipatuhi sepenuhnya.

Ramai pemilik premis seperti kedai mamak atau kedai makan tidak tegas dalam menyaring kemasukan pelanggan ke dalam premis mereka. Pelanggan bebas untuk masuk dan keluar dari kedai tanpa sebarang sekatan. Cukup sekadar imbas kod MySejahtera dan menjamu selera.

Itu belum lagi bercerita tentang penjarakan sosial di meja makan.

Biarpun peraturan mengehadkan cuma dua pelanggan untuk satu meja (kecuali daripada keluarga sama), namun ada kalanya satu meja sampai empat ke lima orang duduk bersama.

Inilah yang ditekankan tentang disiplin dan kawalan kendiri. Kita tak perlu menjadi seperti pahat dan penukul; sekali ketuk sekali masuk.

Kita yang sepatutnya sedar diri bahawa peraturan tanpa pematuhan tidak cukup untuk mencegah penularan Covid-19.

Kelonggaran

Adakah kita sanggup berdepan sekali lagi dengan penularan wabak yang terus sebagaimana kita pernah tempuhi sepanjang dua tahun kebelakangan ini?

Sanggupkah kita kembali tangisi pemergian ahli keluarga, hilang sumber pencarian, dikurung dalam rumah dan aktiviti harian disekat?

Mampukah kita mendepani kesuraman ekonomi, kejatuhan perniagaan dan keruntuhan sosiobudaya sekali lagi?

Persoalan-persoalan itulah yang kita patut tanya pada diri sendiri. Jangan tepuk dada tanya selera tetapi tepuk dada tanya iman.

Kerajaan melakukan pelbagai cara dan memberikan kelonggaran untuk kita kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala dan kita sama-sama bertanggungjawab menjayakan aspirasi ini.

Sekali lagi diingatkan, berjaya atau tidak kita memasuki fasa endemik terpulang kepada diri kita sendiri. Jangan terlalu berseronok dan gembira dengan keadaan sekarang ini kerana kita belum menang lagi.

Virus durjana itu pada bila-bila masa boleh mengganas kembali jika kita semua alpa.

* Mohd Hanafiah Hashim ialah Editor Digital Kandungan Komersial Sinar Harian