Tempahan hotel di Port Dickson dijangka cecah 100 peratus

Iklan
Tasik Villa International Resort menerima 80 peratus tempahan hujung minggu ini.

SEREMBAN - Tempahan hotel di Port Dickson dijangka mencapai 100 peratus penuh pada hujung minggu ini susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula Isnin.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah tempahan yang diterima membabitkan 35 hotel yang berdaftar di bawah MAH.

Iklan
Iklan

"Selepas Negeri Sembilan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lepas, tempahan hotel meningkat antara 50 hingga 60 peratus daripada pelancong dalam negeri.

Haziz

"Apabila rentas negeri dibenarkan, sejak semalam hotel terlibat tidak henti-henti menerima panggilan telefon juga e-mel daripada pelanggan yang ingin menempah hotel pada hujung minggu ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Bagaimanapun, Haziz turut menegaskan pihaknya hanya menerima tempahan daripada pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 selain sentiasa mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Maaf, bagi yang belum lengkap vaksin, kami terpaksa menolaknya demi keselamatan dan kebaikan semua pihak. Lengkap sahaja dua dos, kami mengalu-alukan kedatangan anda di hotel-hotel kami di Port Dickson," katanya.

Iklan

Menurut Pegawai Bahagian Pemasaran Hotel Dwharf & Service Residence, Cindy Kwan, selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri tempahan hotel meningkat lebih 30 peratus.

"Hotel kami semakin meriah dan ramai pengunjung yang datang ke Port Dickson selain itu D'Wharf Hotel masih mematuhi SOP dan memastikan pelanggan kami sudah menerima vaksinasi yang lengkap untuk daftar masuk di hotel kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Eksekutif Tasik Villa International Resort, Jofhua Young berkata, telah menerima 80 peratus tempahan bilik untuk hujung minggu ini.

"Saya akui sejak semalam ramai pelanggan membuat panggilan telefon untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung tempahan penginapan di sini dan kami sangat menitikberatkan tentang SOP bagi mengelakkan sebarang pelanggaran pematuhan," katanya.

Dalam pada itu, seorang ejen percutian, Nurul Azma Shafiqah Khairul Azhar berkata, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama lagi, tempahan hotel di Port Dickson sentiasa ada malah konsep tempahan yang ditawarkan pula adalah bayar hari ini, menginap kemudian.

"Bermula Isnin, rentas negeri dibenarkan semua pelanggan yang tertunda percutian mula tempah tarikh mereka semula," katanya.

Yuslinda

Seorang lagi ejen percutian, Yuslinda Mohamed berkata, sehingga kini terdapat lebih 20 tempahan hotel diterima sejak Isnin membabitkan hotel bertaraf antara tiga hingga lima bintang di Port Dickson.

"Sebelum ini tempahan hotel yang saya terima kurang daripada 10, namun sejak semalam ada perkembangan positif sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan di sini," katanya.