SHAH ALAM - Sokongan dan perlindungan sedia ada yang diperuntukkan kepada pemberi maklumat masih tidak mencukupi untuk melindungi identiti individu tersebut, kata Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr Thanussha Francis Xavier.
Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila rakyat lebih yakin untuk menggunakan saluran di sosial media untuk berkongsikan sebarang maklumat yang mahu didedahkan kepada masyarakat.
"Contoh yang boleh diberikan, sewaktu pandemik Covid-19, saya mula menerima mesej dalam sosial media daripada individu yang memaklumkan mengenai tindakan majikan memaksa pekerja datang bekerja walaupun operasi syarikat sepatutnya dihentikan.
"Mereka minta saya untuk sebarkan maklumat itu dan cuba buat sesuatu. Kerisauan yang paling utama individu-individu ini adalah agar identiti mereka dilindungi sebab bimbang mereka hilang kerja dan pendapatan.
"Ini adalah contoh untuk kes kecil, belum sampai melibatkan kes yang besar,” katanya ketika program Wacana Sinar Harian Edisi ke 297 bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Memperkasa Peranan Masyarakat’ pada Selasa.
Turut menjadi panelis pada program yang diacarakan oleh Ismail Adnan itu ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr Thanussha Francis Xavier.
Wacana dianjurkan oleh National Oversight & Whistblowers (NOW) itu turut turut disokong oleh Malaysia Reform Initiative (Mari), USAID from The American People dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Dr Thanussha berkata, walaupun mengakui langkah mendedahkan maklumat di sosial media bukanlah tindakan terbaik, namun harus juga diakui bahawa saluran sedia ada yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat masih tidak memberikan keyakinan kepada rakyat.
Katanya, ini kerana ada agensi yang menguruskan saluran tersebut juga didapati berhadapan dengan masalah integriti.
"Jadi kalau kita hanya ada satu saluran dan saluran itu pun bermasalah, di mana rakyat boleh mendapatkan keyakinan untuk membuat aduan?” soalnya
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa ramai rakyat Malaysia yang akan ke hadapan dan berkongsikan informasi berkaitan salah guna kuasa sekiranya pihak berwajib memberikan perlindungan yang mencukupi kepada pemberi maklumat.
"Hari di mana kerajaan atau agensi yang berkaitan bersikap adil dan benar-benar memberikan kerjasama melindungi identiti mereka yang datang ke depan, kita akan mendapat maklumat tentang semua individu yang sedang melakukan penyelewengan.
"Ini kerana yang terkesan adalah rakyat. Tidak ada sesiapa yang melindungi individu yang menindas mereka,” ujarnya.