KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang berusaha untuk meratifikasikan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.
Beliau berkata, buat masa ini draf pindaan ke atas Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cap Dagangan 2019 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada akhir 2021.
"Ini perlu bagi memastikan ketiga-tiga akta ini sejajar dengan obligasi dan komitmen Malaysia di bawah perjanjian RCEP,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Lim Hui Ying mengenai maklumat terkini berkaitan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan RCEP serta sama ada kerajaan berhasrat untuk meneruskan rundingan tersebut pada ketika ini.
Ban Hong berkata, pada 15 November 2020, RCEP telah ditandatangani 15 negara merangkumi 10 negara anggota ASEAN dan lima Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Korea, Jepun dan New Zealand.
"Perjanjian RCEP hanya akan berkuat kuasa apabila sekurang-sekurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga rakan dialog ASEAN meratifikasikan perjanjian tersebut.
"Sehingga kini, China, Jepun dan Singapura telah meratifikasikan RCEP dan dijangka perjanjian ini mula berkuat kuasa pada Januari 2022,” katanya.
Mengenai CPTPP, beliau berkata, ia merupakan satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 11 negara anggota di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia yang telah ditandatangani pada 8 Mac, 2018.
"Perjanjian CPTPP telah mula berkuat kuasa secara berperingkat sejak Disember 2018 bagi Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru. Baki tiga negara anggota iaitu Brunei Darussalam, Chile dan Malaysia masih belum meratifikasikan dan menguatkuasakan CPTPP.
"Kerajaan telah mempergiatkan usaha bagi melengkapkan pindaan ke atas akta-akta yang berkaitan bagi membolehkan Malaysia meratifikasikan CPTPP,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, enam akta telah diluluskan di Parlimen manakala baki lapan akta yang masih perlu dipinda dan diluluskan di Parlimen adalah Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
"Bagi KPDNHEP iaitu Akta Petunjuk Geografi 2000, Akta Paten 1983 dan Akta Hak Cipta 1987 manakala Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya. - Bernama