KLANG - Sebuah kilang perabot musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Udang Galah, Kampung Telok Gong, di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 11.10 pagi.
"Seramai 28 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Sungai Pinang, BBP Andalas dan BBP Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 11.17 pagi.
"Kebakaran melibatkan sebuah kilang perabot bangunan Kelas A berkeluasan 40x130 kaki persegi yang terbakar 40 peratus.
"Kerja-kerja pemadaman turut dibantu empat lori tangki air dari BBP Puchong, BBP KLIA, BBP Shah Alam, BBP Serdang dan BBP Pandan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.