KUANTAN - Pahang meluluskan tanah seluas 90 hektar di Tanjung Putus, Mukim Kuala Kuantan, di sini bagi membangunkan satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan tanah bagi TKPM yang ke-19 di Pahang diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu.
Menurutnya, tambahan itu menjadikan keluasan tanah dikhususkan untuk TKPM di negeri ini kira-kira 5,282.85 hektar atau bersamaan keluasan 6,860 padang bola sepak.
"Perkembangan itu meletakkan Pahang sebagai penyumbang terbesar bagi pembangunan TKPM di seluruh negara," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, tanah di Tanjung Putus yang diluluskan bagi TKPM itu melibatkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri untuk ditanam dengan sayur-sayuran dan tanaman kontan.
"Peserta yang akan dipilih antaranya dalam kalangan belia antara 18 dan 40 tahun lepasan sijil, diploma atau ijazah dalam bidang pertanian serta yang bersesuaian.
"Peluang turut diberikan dalam kalangan rakyat di bawah kategori B40 lingkungan umur antara 23 dan 50 tahun," katanya.
Tambah beliau, peserta terpilih akan diberi tanah seluas 0.4 hektar sehingga satu hektar setiap seorang bagi fasa satu.
"Bagi fasa dua nanti, peluasan tapak tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri.
"Kerajaan negeri berharap kelulusan TKPM termasuk di Tanjung Putus itu akan membantu meningkatkan pengeluaran makanan di negeri dan negara ini.
"Selain itu, ia juga membantu peserta menambah hasil pendapatan sewajarnya," katanya.