Bali sedia terima pelancong antarabangsa

Iklan
Pulau Bali. - Foto 123rf

JAKARTA - Pulau peranginan Indonesia, Bali bakal dibuka semula kepada pelancong antarabangsa pada Khamis.

Sebanyak 8,000 bilik di 35 buah hotel tiga hingga lima bintang telah disediakan untuk kegunaan kuarantin dan penginapan semasa pelancong antarabangsa berada di pulau itu, kata Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia Hariyadi Sukamdani.

Iklan
Iklan

"Kami telah membuat persiapan ini selama 19 bulan dengan penuh teliti. Kami telah bersedia menyambut tetamu antarabangsa," kata Sukamdani kepada Xinhua pada Isnin.

Sukamdani menganggarkan pada fasa awal hanya sekitar 2,000 bilik akan digunakan, tetapi jumlahnya akan bertambah jika lebih ramai pengunjung yang datang.

Iklan

"Pelancongan di Bali kembali pulih dalam beberapa minggu terakhir berikutan semakin banyak pelancong domestik datang pada kadar penginapan hotel meningkat 35 peratus,” kata Sukamdani.

Perkembangan itu berlaku berikutan penurunan ketara kes Covid-19 baharu harian Indonesia dalam beberapa hari terakhir.

Iklan

Dengan kelonggaran sekatan pergerakan awam itu, pusat beli-belah, pawagam dan restoran dibenarkan kembali beroperasi. Kerajaan turut mempercepat program vaksinasi.

Timbalan Gabenor Bali Tjokorda Oka Sukawati memberitahu, beribu-ribu kemudahan pelancongan yang menarik, termasuk restoran, hotel dan pusat beli-belah di pulau peranginan itu sudah bersedia menyambut ketibaan pelancong asing dengan pematuhan protokol kesihatan yang ketat.

Sementara itu, 99 peratus penduduk Bali telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 80 peratus telah mendapat dos kedua.

Sukawati berharap pembukaan semula pulau itu dapat menghidupkan kembali sektor pelancongan yang menyumbang 53 peratus pada 2019 daripada pendapatan wilayah ini.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan menjelaskan, pelancong asing yang datang dari negara-negara dengan kadar positif Covid-19 kurang lima peratus dan mereka yang telah diberi vaksin lengkap Covid-19 dibenarkan berkunjung ke Bali.

Selagi ujian Covid-19 mereka negatif dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat ke Indonesia dan mempunyai bukti tempahan penginapan, para pelancong dibenarkan mengunjungi Indonesia.

"Mereka juga mesti mempunyai insurans kesihatan dengan nilai perlindungan minimum AS$100,000 (RM415,950) termasuk pembiayaan untuk menangani Covid-19.

"Mereka hanya perlu menjalani lima hari kuarantin, berbanding lapan hari sebelum ini.

"Jika keputusan ujian PCR pada hari keempat negatif, mereka dibenarkan meninggalkan tempat kuarantin pada hari kelima," ujarnya.

Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali, setiap pelancong diminta untuk melakukan pemeriksaan fizikal, antaranya ujian reaksi polimerase berantai PCR.

Lapangan terbang ini telah menyediakan bilik ujian PCR dengan kapasiti 3,840 ujian setiap hari. -Bernama