Pentadbir masjid belum vaksin dilarang kendali solat jemaah

Iklan
Pegawai masjid di Selangor yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengendalikan solat Jumaat dan fardu lima waktu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Pegawai atau pentadbir masjid di Selangor yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak dibenarkan untuk mengendalikan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu lima waktu.

Iklan
Iklan

Penguatkuasaan itu turut melibatkan pegawai atau pentadbir surau kebenaran solat Jumaat dan musolla di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihak terlibat juga tidak dibenarkan mengendalikan sebarang aktiviti pengimarahan lain sekiranya masih belum mengambil suntikan vaksin.

Iklan

"Pihak pengurusan juga perlu melantik imam, bilal atau siak yang telah lengkap divaksin sebagai penganti sepertimana diarahkan oleh ulil amri (pemerintah).

"Sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau pentadbir masjid atau musolla yang masih enggan mengambil suntikan vaksin, maka laporan hendaklah dibuat kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID)," katanya menerusi kemas kini di laman Facebook pada Rabu.

Iklan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada September bertitah bahawa guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang masih berdegil enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Mohd Zawawi

Baginda menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat dalam kalangan golongan itu yang memilih untuk tidak mahu divaksin kerana tindakan itu membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir turut menjelaskan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pentadbir masjid dan surau juga hendaklah sentiasa memberi peringatan secara berkala kepada setiap jemaah untuk mematuhi prosesur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Pihak terlibat juga perlu melaksanakan proses disinfeksi secara berkala pada setiap waktu solat Jumaat, fardu dan program pengimarahan.

"Pihak pentadbir dinasihatkan agar tidak melaksanakan sebarang aktiviti pengimarahan yang belum dibenarkan," katanya.

Tambah beliau, pihak pengurusan juga perlu melaporkan sebarang pelanggaran SOP yang berlaku melibatkan para jemaah sewaktu menunaikan solat dan mengikuti program pengimarahan yang dilaksanakan.