SHAH ALAM - Program ‘Creating Agents for Change’ anjuran Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower Malaysia) dan Media 3R dengan sokongan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bertujuan memberi peluang kepada wanita muda untuk menjadi ejen atau advokat yang lebih baik dalam memperjuangkan kesamarataan gender.
Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D McFeeters berkata, usaha memperjuangkan kesamarataan gender perlu disertakan dengan kerjasama dan penyertaan penuh oleh semua anggota masyarakat.
"Kita tidak boleh memandang rendah terhadap kepentingan advokasi dan langkah pemerkasaan yang djalankan pihak tertentu bagi menggalakkan komuniti untuk bersama-sama memperjuangkan isu tersebut.
"Saya harap peserta program dapat mengusahakan inisiatif dalam menangani isu utama seperti gangguan seksual, perkahwinan kanak-kanak dan keganasan terhadap wanita.
"Kami berharap agar diperbanyakkan dialog dan tindakan selanjutnya bagi mencari penyelesaian berkaitan isu-isu penting termasuk akses kepada pendidikan, memajukan kesamarataan ekonomi dan menangani halangan serta sekatan yang dihadapi oleh wanita dan gadis,” katanya ketika pelancaran program ‘Creating Agents for Change’ yang diadakan secara dalam talian pada Rabu.
Turut hadir Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir.
Sementara itu, Marina mengakui tahap kesedaran terhadap isu kesamarataan gender semakin meningkat terutamanya dalam kalangan generasi muda berikutan Malaysia kini mempunyai ramai wanita muda yang berbakat dan berpendidikan.
Beliau berkata, rakyat juga semakin sedar bahawa di negara lain termasuk negara Islam, wanita semakin mendapat hak mereka melalui pendedahan di media dan internet.
Tambahnya, peserta program tersebut akan mempelajari bahawa untuk menganjurkan perubahan memang sukar tetapi ia dapat dilakukan.
"Ini juga dengan mengambil kira pengetahuan, kemahiran dan kaedah yang perlu dipelajari untuk melaksanakannya secara berkesan,” jelasnya.
Program yang bakal berlangsung pada Oktober 2021 hingga Mac 2022 itu akan menampilkan satu siri bengkel melibatkan 20 pemimpin wanita Malaysia yang berumur 18 hingga 30 tahun dan berasaskan hak asasi manusia serta jantina untuk menyokong usaha advokasi mereka.
Selain itu, kempen advokasi yang tertumpu pada media itu melibatkan penciptaan ruang inklusif untuk wacana, demonstrasi dalam talian, video dokumentari dan penggunaan grafik kreatif serta seni sebagai alat meluahkan perasaan dan solidariti.