KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui belum terfikir untuk menjadi ahli politik buat masa ini.
Menurut Tengku Zafrul, jadual tugasnya selaku menteri begitu padat dan sibuk dalam menangani krisis berkembar iaitu kesihatan dan ekonomi.
"Saya bukan ahli politik dan tiada masa hendak fikir soal itu kerana sejak jadi menteri sangat sibuk dengan krisis kesihatan dan ekonomi.
"Keadaan (tugas sebagai menteri) sangat jauh berbeza berbanding ketika saya berada dalam institusi bank. Dari segi kesibukan itu di tahap yang lain.
"Sekarang ini dengan Belanjawan 2022 lagi. Jadi tidak sempat lagi hendak fikir (sertai politik)," katanya dalam program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini pada Rabu.
Program kira-kira sejam di semua platform Sinar Harian itu dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau menjangkakan politik Malaysia kadang-kala bersifat toksik selepas menyertai Kabinet, Tengku Zafrul mengakui sedar perkara tersebut.
Bagaimanapun, beliau memberitahu tidak banyak terlibat dalam perbincangan berkaitan politik semasa negara.
"Mereka (pemimpin politik dalam kerajaan) pun tidak kacau saya membabitkan perbincangan politik tetapi kerana saya dalam kerajaan, saya sekarang faham bahawa landskapnya sudah berubah.
"Kita ada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dan sebagainya tetapi pada saya apa pun yang dibuat membabitkan rakyat perlu disokong," katanya.