Tujuh teras pacu budaya kerja selamat, sihat

Iklan
Ismail Sabri

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) menggariskan tujuh teras strategik yang menjadi pemacu kepada pembentukan budaya kerja selamat dan sihat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan jangka sederhana itu dirangka setelah mengambil kira senario pekerjaan kini yang telah berubah.

Iklan
Iklan

"Melangkah ke hadapan, kita perlu mengharungi persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik ini," katanya.

Tujuh teras strategik itu adalah pemerkasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor awam, pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja dan penggalakan pendidikan serta penyelidikan KKP.

Iklan

Pemerkasaan kesihatan pekerjaan, peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemantapan KKP teknologi serta peningkatan KKP berkaitan jalan raya, sektor tidak formal dan pekerjaan masa hadapan turut dirangka dalam teras tersebut.

Menurutnya, pandemik menuntut peralihan secara drastik kepada norma baharu pekerjaan, seperti bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian.

Iklan

"Melihat dari sudut positif, senario baru ini sebenarnya membuka banyak peluang bagi warga pekerja," katanya.

Beliau berkata, definisi tempat kerja juga akan menjadi semakin kabur apabila pekerja tidak semestinya berada di pejabat.

"Justeru, semakin ramai yang akan beroperasi dari rumah apabila kebanyakan komunikasi, mesyuarat dan transaksi kewangan dilakukan secara maya.

Menurut Ismail Sabri, apa yang membimbangkan, perubahan itu turut mendedahkan pekerja kepada risiko keselamatan dan kesihatan seperti masalah berkaitan ergonomik yang antara lainnya berkait dengan postur badan ketika menggunakan komputer atau gajet.

"Pekerja yang terlalu lama terkurung di rumah juga terdedah kepada masalah psikososial terutamanya tekanan mental dan kelemahan interaksi sosial," katanya.

Sehubungan itu, situasi baharu itu menuntut kerajaan mengambil tindakan afirmatif bagi memastikan persekitaran kerja yang sihat, selamat, dan kondusif terus diwujudkan.

"Hari ini, ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia sudah menjadi ruang pekerjaan. Begitu juga di kafe, gerai dan restoran," katanya dalam ucapan pelancaran OSHMP25 yang diadakan secara dalam talian pada Rabu.

Ia turut disertai oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, timbalannya merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Awang Hashim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat.

Tambah Ismail Sabri, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada hampir semua aspek pekerjaan.

"Penularan virus di tempat kerja merupakan antara risiko KKP yang menuntut kerajaan, majikan dan pekerja mengambil langkah mencegah penyebaran penyakit tersebut.

"Tujuh teras yang mengamalkan budaya kerja selamat ini amat mustahak untuk dipatuhi oleh kita semua," katanya.

Katanya, negara boleh mengalami kerugian sehingga empat peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat pengabaian KKP dalam tempoh setahun.

"Apa yang lebih diutamakan kerajaan adalah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia," katanya.