PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Wisma Putra menggesa Sudan menghormati Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala yang berkuat kuasa antara Malaysia dan Sudan.
Dalam kenyataannya, Wisma Putra turut mendesak Sudan untuk menghormati status Kedutaan Besar Malaysia sebagai sebuah entiti diplomatik sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
"Walaupun proses timbang tara yang diaktifkan oleh Petronas telah bermula, kementerian berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat, demi memelihara hubungan akrab yang sedia terjalin," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kementerian itu juga menzahirkan kekhuatiran Malaysia terhadap isu yang tercetus sejak Disember tahun lalu.
"Kementerian Luar Negeri telah bekerjasama rapat dengan Petronas termasuk melalui Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum bagi menangani isu tersebut," katanya.
Ujar Wisma Putra, beberapa usaha diplomatik telah dilaksanakan termasuk memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur buat kali kedua pagi Rabu bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia.
"Kementerian akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dalam memelihara kepentingan Malaysia di Sudan," katanya.
Tambah Wisma Putra, kesemua rakyat Malaysia yang bermastautin serta berdaftar dengan kedutaan di negara itu berada dalam keadaan selamat.
Sebelum ini, portal Daily Sabah melaporkan Petronas didakwa memperoleh asetnya secara tidak sah ketika pemerintahan bekas pemimpin Omar al-Bashir.
Berikutan penggulingan al-Bashir, kerajaan peralihan itu bertindak meluluskan undang-undang serta membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan Penyingkiran, Anti-Rasuah dan Pengambilan Semula Wang yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula perjanjian serta mendapatkan semula aset yang didakwa telah diperoleh secara tidak sah di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
Portal itu turut melaporkan tanah yang menempatkan Kompleks Petronas Sudan (PSC) telah diperoleh serta didaftarkan di bawah Nada Properties Co Ltd (NPCL) yang juga anak syarikat Petronas di Sudan.
Bagaimanapun, Sudan telah bertindak memindahkan pemilikan NPCL kepada Kementerian Kewangan negara berkenaan dan menafikan hak Petronas sebagai pemilik sah syarikat itu.
Petronas dalam pada itu telah memfailkan permohonan arbitrasi di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) berhubung perkara itu.
Petronas bertapak di Sudan lebih 20 tahun lalu dan membantu negara itu menjadi antara negara pengeksport minyak.