KUALA SELANGOR - Penduduk di kawasan flat sekitar Puncak Alam yang tidak mempunyai lif terpaksa naik dan turun tangga mengangkat baldi berisi air berikutan gangguan bekalan air selama empat hari bermula Rabu membabitkan 998 kawasan di Lembah Klang.
Seorang penduduk, Nurul Prihantini Muhammad, 21, berkata, keadaan itu menyusahkan penduduk terutama mereka yang tinggal di tingkat atas.
"Saya tinggal di tingkat tiga terpaksa mengangkut baldi berkali-kali sehingga keadaan kembali pulih.
"Pada hari pertama gangguan mungkin tidak ada masalah, tetapi jika berlarutan dua atau tiga hari lagi kami sudah tentu letih dengan keadaan ini," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Nurul Prihantini berkata, rumah flat itu didiami bersama ibunya, Elis Gagi, 40, dan bapanya, Muhammad Halil Buyong, 54,
"Tidak sanggup membiarkan kedua ibu bapa saya yang sudah berusia mengangkut air, saya membantu mengangkut baldi berisi air ke tingkat atas," jelasnya.
Seorang penduduk, Mohd Rozlan Abdullah, 54, berkata, meskipun ada dua tong simpanan air, namun ia masih tidak mencukupi.
Katanya, mereka sekeluarga berjimat cermat dengan penggunaan air kerana bimbang jika ia tidak mencukupi.
"Selain tangki simpanan, kami juga mengambil inisiatif menyimpan air di baldi untuk kegunaan memasak.
"Ketiadaan air memang kerap berlaku di sini, tetapi setakat ini saya tidak pernah lagi mengangkut air naik ke rumah kami di tingkat tiga, namun semuanya tidak dapat dijangka selagi bekalan belum pulih sepenuhnya," ujarnya.
Seorang peniaga, Muhammad Nasir Abdullah, 44, berkata, gangguan bekalan air menyebabkan pendapatannya sebagai peniaga tepi jalan terjejas teruk
Muhammad Nasir berkata, dia mampu memperoleh purata RM100 sehari jika operasi perniagaan diteruskan.
"Saya sendiri memang terkesan apabila tidak berniaga. Kami berharap bekalan air segera pulih seperti sediakala," katanya.
Seorang penduduk, Rosnita Teguh, 53, berkata, penduduk sudah bosan dengan gangguan bekalan air yang kerap berlaku di negeri ini.
"Kita harap isu air di Selangor tidak berterusan dan berharap ada jalan penyelesaian," katanya.