KUALA NERANG - 500 penunggang motosikal mengisi petrol secara percuma bernilai RM5 setiap seorang sempena program Majlis Peduli Rakyat Padang Sanai di Stesen Minyak Caltex, Kampung Pisang dekat sini, hari ini.
Usaha tokoh korporat, Datuk Jawiyah Che Dan sedikit meringankan beban penduduk di sekitar kawasan tersebut yang majoritinya meraih pendapatan hasil menoreh getah dan bekerja kampung.
Beliau dalam ucapannya melahirkan rasa syukur kerana dapat berkongsi rezeki yang dianugerahkan ALLAH SWT dengan penduduk di sini terutamanya penunggang-penunggang motosikal.
Menurutnya, mungkin nilai yang disumbangkan tidak besar, namun berharap program ini dapat meringankan beban mereka yang menggunakan motosikal untuk menjalani rutin harian mereka.
"Saya bersyukur kerana berpeluang mendekati masyarakat di sini yang mana secara tidak langsung menjadi suatu platform untuk saya menyelami masalah dan kesusahan mereka.
"Insya-ALLAH, program sebegini akan diteruskan pada masa-masa akan datang, kerana saya yakin, masih ada kelompok yang memerlukan bantuan kita di luar sana," katanya.
Jawiyah yang juga pemilik kepada Dusun Minda Resort di daerah Padang Terap berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga telah mengumumkan harga siling bagi petrol Ron95 telah dikurangkan sebanyak 12 sen baru-baru ini.
Tambahnya, keputusan kerajaan yang mengehadkan harga runcit Ron95 pada harga RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu membuktikan kerajaan merasai dan memahami keperluan rakyat.
"Tindakan ini membuktikan keprihatinan kerajaan kepada rakyat terutamanya bagi golongan B40 yang kini menjadi antara tumpuan kerajaan yang mahu meringankan beban yang ditanggung oleh kelompok golongan berkenaan," katanya.
Majlis dirasmikan oleh Pegawai Daerah Padang Terap, Fathullah Suhaimi Ismail yang memuji objektif program tersebut di dalam usaha membantu mereka yang memerlukan seperti di daerah tersebut.
Hadir sama Ahli-ahli Majlis Daerah Padang Terap iaitu Ong Keen Tong, Fauzi Lebai Salleh, Syed Fadzil Syed Embun, Laily Suraya Ahmad Jais, Mahmod Hassan dan Jan Mustafar.