SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Skim Penyaluran Trafik dan Laluan Kontra di beberapa lokasi utama sepanjang Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) diaktifkan semula sejak Ahad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Sazally Saidi berkata, pengaktifan semula skim berkenaan bertujuan melancarkan kembali aliran trafik di lebuh raya terbabit demi keselesaan pengguna.
Menurutnya, keadaan trafik di beberapa lokasi lebuh raya itu kembali padat susulan daripada beberapa kelonggaran diumumkan kerajaan sebelum ini.
"Sistem penyaluran trafik itu melibatkan lokasi di KM5.2-KM6.5 Bandar Utama menghala Taman Tun Dr Ismail; KM17.7-KM16.9 dari Bandar Sunway ke persimpangan bertingkat Motorola dan KM24.7-KM25.2 dari Puchong Perdana ke Persimpangan Puchong Intan.
"Laluan kontra pula melibatkan lokasi di KM21-KM18 dari Putrajaya/Puchong menghala ke Kelana Jaya," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Sazally berkata, Litrak akan memastikan kelancaran trafik melalui beberapa siri penambahbaikan Pelan Mitigasi Kesesakan yang dilaksanakan sejak 2009.
Tambah beliau, sebanyak RM1bilion telah dibelanjakan sebelum ini bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan di lebuh raya terbabit.