SEREMBAN - Suasana hiba mengiringi majlis pengebumian seorang kanak-kanak perempuan autisme berusia lapan tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat terkurung di dalam van selama tiga jam di Taman Nusari Bayu 2 di sini pada Selasa.
Kanak-kanak berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sendayan di sini jam 3 petang Rabu.
Paling memilukan, apabila nenek kepada 'anak syurga' itu meluahkan kata-kata,"tunggu nenek ya" ketika kali terakhir melihat jenazah cucunya di liang lahad sebelum dikebumikan.
Wanita itu turut dilihat menangis teresak-esak membuatkan mereka yang lain berada di situ turut tidak dapat menahan tangisan.
Sebaik majlis pengebumian selesai, bapa kanak-kanak terbabit memohon kepada semua yang hadir supaya memaafkan kesalahan dan menghalalkan makan minum anaknya.
Sementara itu, waris terdekat keluarga tersebut ketika ditemui berkata, neneknya berasa sangat sedih dengan kehilangan mangsa kerana sangat rapat dengannya.
"Setiap kali cuti sekolah anak syurga itu akan datang ke rumah neneknya di Seremban. Arwah adalah anak kedua daripada tiga beradik," katanya.
Bagaimanapun, ibu bapa mangsa ketika ditemui memberitahu media bahawa mereka tidak bersedia untuk ditemubual kerana masih bersedih.
Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemui tidak sedarkan diri selepas terkurung dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan, namun pemandu van pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van dari jam 2.30 petang hingga jam 5.50 petang.
Tambah beliau, tangkapan terhadap seorang lelaki berumur 34 tahun yang bekerja sebagai pemandu van dilakukan dan tahanan reman dipohon pagi tadi.
Siasatan dijalankan bagi mengenalpasti kejadian yang berlaku dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.