KUALA TERENGGANU - Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) pada Rabu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Regu Yakin Sdn Bhd untuk membangunkan projek penanaman rumput napier.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, projek tanaman bernilai RM400 juta bagi pengeluaran pulpa dan bekas makanan itu merupakan pertama seumpamanya di Malaysia.
"Ia akan dibangunkan di kawasan seluas 4,046 hektar di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun dan Air Putih, Kemaman. Projek ini akan memberi 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Turut dibangunkan ialah sebuah kilang yang akan menggunakan teknologi dari China untuk memproses rumput napier ini menjadi pulpa dan bekas makanan biodegradasi bernilai tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di sini pada Rabu.
MoU itu ditandatangani Pengurus Besar TADC, Azhar @ Wahab Jusoh manakala Regu Yakin Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Lee Chuan Leong.
Ditanya mengenai potensi pasaran bekas makanan biodegradasi tersebut, Dr Azman berkata, permintaannya sentiasa ada daripada pelbagai pihak kerana ia lebih mesra alam dan penggunaannya tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
"Permintaan tinggi bukan sahaja dari sektor pembuatan makanan, malah trend semasa turut menyebabkan banyak hospital dan klinik juga telah beralih kepada penggunaan bekas makanan biodegradasi ini.
"Kita yakin projek ini memberi impak positif kepada rakyat Terengganu terutama dari segi pemindahan teknologi dan ilmu berkaitan industri ini," katanya.
TADC yang merupakan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) beroperasi sejak 2006.
Kegiatan utama TADC adalah menjalankan aktiviti pengeluaran dan memasarkan hasil dalam bidang pertanian dan perikanan selaras hasrat kerajaan Terengganu untuk meningkatkan pertumbuhan sektor pertanian dan industri asas tani bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat. - Bernama