GEORGETOWN -[DIKEMAS KINI] Dua penyelia pembersihan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ditahan pada Ahad lalu selepas disyaki memukul dua lelaki termasuk seorang gelandangan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki berkenaan sering memukul peminta sedekah atau gelandangan yang berada di lokasi tersebut.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 27 dan 43 tahun warga tempatan itu ditahan pada jam 9 malam di hadapan sebuah bank di Komtar oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) dari Ibu Pejabat Polis Timur Laut.
"Kita turut merampas dua batang rotan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa. Hasil semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.
"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Mereka telah selesai direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata.
"Kertas siasatan telah lengkap dan akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Difahamkan, kedua-dua suspek bertindak demikian selepas mendakwa gelandangan dan peminta sedekah di kawasan Komtar itu membuat kotor.
Mengulas mengenai kejadian tersebut, Soffian berkata, polis menerima satu laporan daripada salah seorang mangsa pada jam 7 petang, hari sama.
"Menurut mangsa, dia telah merakam melalui telefon bimbitnya tindakan dua lelaki sedang memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan pada jam 2 petang, 6 Oktober lalu. Kejadian berlaku di hadapan sebuah bank di Komtar.
"Mangsa mendakwa dia turut dipukul oleh dua lelaki tersebut selepas mereka menyedarinya merakam perbuatan mereka. Mangsa dipukul berkali-kali sehingga mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis kiri dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang," katanya.
Soffian turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain.
Tambah beliau, orang awam perlu mengambil pendekatan yang lebih bijak dan mengikut undang-undang bagi menyelesaikan masalah.
Sebelum ini, tular tiga klip video, masing-masing berdurasi dua minit 20 saat dan 45 saat dimuat naik di Twitter yang memaparkan dakwaan seorang lelaki dipukul oleh beberapa individu di tempat awam.