53 penjawat awam Negeri Sembilan dinasihat segera ambil vaksin

Iklan
Media sebelum ini melaporkan JPA mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini. - Foto fail Bernama

SEREMBAN - Seramai 53 penjawat awam di Negeri Sembilan yang masih belum menerima vaksin Covid-19 mempunyai masa hingga hujung bulan ini sebelum dikenakan tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata kerajaan negeri berharap golongan berkenaan dapat mengambil suntikan vaksin Covid-19 pada kadar segera demi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, seramai 64 penjawat awam di negeri ini yang dikenal pasti belum bersedia untuk menerima vaksin berkenaan bagaimanapun 11 daripada mereka telah menerima suntikan.

"Memang ada antara mereka yang masih berkeras untuk tidak mahu vaksin. Kita berharap mereka ini memikirkan semula untuk menerima vaksin walaupun masing-masing berpandangan mempunyai hak tersendiri," katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan JPA mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pembentangan Belanjawan 2022 pada hujung bulan depan.

Iklan

"Bajet yang kita rumuskan pada tahun depan adalah realisitik. Kerajaan akan melihat belanjawan tahun terdahulu untuk dirangkumkan dan dibuat pengharmonian supaya bajet yang dibentang kali ini lebih bermakna serta memberi satu rangsangan ekonomi kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, susulan rentas negeri dibenarkan, Aminuddin menasihati pengunjung yang datang ke Negeri Sembilan terutamanya pada hujung minggu ini agar menjaga kebersihan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. -Bernama