PASARAN getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, dipengaruhi oleh sentimen lemah pasaran niaga hadapan serantau serta data penjualan kereta China yang rendah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata, Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM) melaporkan jualan automotif menyusut 19.6 peratus pada September tahun ke tahun kepada 2.07 juta kenderaan kerana kekurangan semikonduktor global yang berterusan serta gangguan dalam pengeluaran.
Peniaga itu juga berkata, pengendali pasaran dilihat sedang mencerna laporan Tinjauan Ekonomi Dunia yang terkini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selain terdapat jangkaan yang kian meningkat bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengumumkan pengurangan rangsangan tidak lama lagi.
"IMF mengunjurkan ekonomi global akan berkembang 5.9 peratus tahun ini, sedikit lebih rendah berbanding unjuran pada Julai sebelum terus menyusut perlahan kepada 4.9 peratus pada tahun 2022.
"Ia turut melaporkan Persekutuan AS telah hampir untuk memulakan pengurangan program pembelian bon besar-besaran bantuan pandemik seawal bulan depan,” tambah beliau.
Harga Lembaga Getah Malaysia (MRB) untuk SMR20 turun lapan sen kepada 714 sen sekilogram (kg) sementara lateks pukal naik lima sen kepada 515.5 sen sekg.
Pada jam 5 petang, harga penutupan MRB untuk SMR 20 berada pada 703.5 sen per kg sementara lateks pukal pada 520.5 sen sekg. -Bernama