Pemilikan ekuiti korporat bumiputera mampu ditingkatkan

Iklan
Mohd Zayad

ALOR SETAR - Pemilikan ekuiti syarikat korporat bumiputera dijangka meningkat sekiranya taraf hidup bumiputera meningkat dengan kenaikan pendapatan purata bulanan isi rumah, dan pada masa sama kadar kemiskinan dapat dikurangkan.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, bagaimanapun ia hanya mampu dicapai menerusi perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu melakukan satu anjakan besar dalam melaksanakan strategi dan pendekatan yang lebih tersusun dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.

"Perkara ini amat mustahak untuk difahami semua pihak, agenda bumiputera sangat penting untuk diangkat sebagai agenda nasional dan perlu diberikan perhatian dalam memastikan kemakmuran negara.

Iklan

"Perlu ditegaskan, pertumbuhan ekonomi secara berterusan amat penting kerana dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat agihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat secara adil dan saksama,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Zayad berkata, DPMM Kedah menyambut baik Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang memberi penekanan terhadap isu berkaitan pemilikan ekuiti korporat bumiputera kerana pemilikan ekuiti oleh entiti yang mewakili bumiputera semakin menurun.

Iklan

"Ia tidak menepati sasaran sebelum ini. Oleh itu, kerangka jaringan keselamatan ekuiti yang bakal diperkenalkan agar penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera lain, adalah langkah proaktif ke arah mengimbangi sosioekonomi secara adil dan saksama,” katanya.

Menurutnya, namun masih wujud jurang ketaksamaan pendapatan antara kaum di negara ini.

"Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat, kita masih belum capai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan bumiputera.

"Penglibatan bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan, majoriti berada pada tahap usahawan kecil dan mikro. Segala yang dirancang harus mengambil kira untung nasib orang Melayu dan bumiputera,” ujarnya.

Mohd Zayad turut menyarankan agar kerajaan merangka strategi lebih jelas untuk memperkukuhkan pemilikan aset bukan kewangan bumiputera seperti kediaman, premis industri dan kompleks komersial, selain mengoptimakan nilai dan manfaat aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan bumiputera Islam, yang tidak diurus secara teratur menyebabkan nilai aset rendah.

"Kerajaan juga perlu galakkan penyertaan, terutama golongan menengah bumiputera dalam pemilikan saham korporat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, DPMM Kedah turut menyambut baik hasrat kerajaan menumpukan penggunaan teknologi dan inovasi pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) melalui inisiatif pendigitalan sektor awam dan transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Titik perubahan ke arah 4IR sememangnya tidak dapat dielakkan, kerajaan perlu persiapkan negara untuk pekerjaan masa hadapan supaya Malaysia tidak tercicir.

"Ini termasuk memperkenalkan 4IR kepada segmen PMKS yang kebanyakannya perlukan bantuan bagi memanfaatkan teknologi yang akan melonjakkan perniagaan mereka,” katanya.

Tambah Mohd Zayad, oleh itu, dasar 4IR memainkan peranan dalam menggariskan pelan holistik untuk memberi fokus kepada penyerapan 4IR dalam operasi PMKS meliputi semua aspek perniagaan.

"Perkhidmatan jalur lebar perlu diperkukuhkan lagi dari segi liputan, harga mampu bayar dan kualiti bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi pendigitalan serta memperluaskan pasaran digital untuk komuniti luar bandar, yang kurang mendapat perkhidmatan digital dalam merapatkan jurang penerimaan teknologi,” katanya lagi.

Menurutnya, sejajar dengan itu, kerajaan perlu mewujudkan satu platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang lebih selamat dan dipercayai.