Kerajaan umum pelaksanaan Urus, bantu peminjam B50 terjejas

Iklan
ISMAIL SABRI

PUTRAJAYA - Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) yang akan dijalankan sektor perbankan dalam masa terdekat dalam usaha membantu peminjam yang berada dalam kumpulan 50 peratus terbawah atau B50.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Urus merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar (gross household income) kurang dari RM5,880 sebulan.

"Kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah.

Iklan

"Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, program Urus itu telah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Iklan

Menurutnya, butiran selanjutnya mengenai program Urus akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

"Inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan melengkapkan usaha kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat dari program moratorium yang diumumkan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan kerajaan sejak Mac 2020.

"Kerajaan berharap dengan pendekatan whole-of-nation dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, kita mampu merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan," katanya.