KUALA LUMPUR - Ketiadaan sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dalam kalangan masyarakat orang asli menyukarkan masyarakat itu terutama di kawasan pedalaman Kelantan, Perak dan Pahang untuk melakukan urusan harian.
Senator Datuk Isa Ab Hamid berkata, ini kerana kad vaksinasi fizikal sedia ada yang diberikan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak diterima pakai di sesetengah premis perniagaan dan pejabat kerajaan.
"Mereka ini apabila sudah lengkap divaksin akan dapat kad vaksinasi tetapi apabila ke pasar raya atau pejabat dan jabatan kerajaan, mereka tidak dibenarkan masuk sebab tiada sijil digital MySejahtera.
''Ini yang menjadi masalah pada komuniti orang asli, nak beli telefon bimbit tetapi tiada capaian Internet dan nak daftar MySejahtera juga internet tiada, nak beli telefon bimbit macam tidak berguna,” katanya.
Membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara di sini pada Rabu, Isa mencadangkan agar KKM memberi kebenaran kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mengeluarkan sijil vaksinasi yang diiktiraf seperti sijil digital MySejahtera.
Sebelum itu, Senator Fadhlina Sidek ketika sesi membahaskan RMK12 meminta kerajaan memberi perhatian serius kepada Dasar Kesihatan Mental Negara sebagai sebahagian dasar penting dalam polisi kesihatan awam untuk mengurangkan kesenjangan dalam semua segmen masyarakat khususnya berkaitan dengan akses terhadap perkhidmatan kesihatan mental.
"Dalam konteks kesaksamaan kesihatan mental, dasar ini sangat penting dalam menentukan penjagaan kesihatan mental mudah diperoleh secara sama rata dan adil bagi setiap segmen dalam masyarakat dari segi demografi dan keupayaan ekonomi.
"Pada masa sama, satu lagi aspek Dasar Kesihatan Mental Negara yang penting adalah perundangan dengan hak dan kebebasan orang yang mengalami masalah kesihatan mental dan gangguan mental mesti diberi jaminan dan perlindungan melalui undang-undang," katanya.
Beliau berkata, jaminan hak asasi kemanusiaan dan undang-undang yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi hak mereka yang menghidap gangguan mental sangat penting bagi mengelakkan stigma dan prejudis sekali gus menghapuskan diskriminasi dalam masyarakat.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. -Bernama