SELEPAS mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Thomas dengan membelasah Kanada 5-0 di Ceres Arena, Aarhus, Denmark awal pagi Rabu, skuad badminton lelaki negara bertekad untuk mempamerkan semangat juang yang sama ketika bertemu Jepun pada Khamis.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, barisan pemain negara akan terus berjuang dalam aksi getir menentang naib juara 2018 itu pada aksi terakhir Kumpulan D.
"Bertemu Jepun, jawapanya ringkas, kita akan lawan...Kita datang nak mengajar pemain muda kita bahawa kita tidak boleh mudah menyerah kalah, kita akan mengambil semua kesempatan di sini untuk mencabar mana-mana pasukan gergasi.
"Kalau kita mengajarkan penetapan minda dan budaya macam ini, tetapi kita punya tindakan berlainan, bagi saya tak serasi lah, jadi kita akan lakukan aksi serupa sebagaimana kita tetapkan dalam minda, dan lawan sampai akhir ketika menentang Jepun,” katanya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, pihak jurulatih akan merencana strategi yang sesuai dalam menetapkan barisan pemain negara, termasuk sama ada mengekalkan barisan gandingan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Di atas kertas, Jepun yang diketuai pemain nombor satu dunia Kento Momota, dianggap sebagai pasukan pilihan apabila mempunyai barisan pemain perseorangan seperti Kanta Tsuneyama (13), Kenta Nishimoto (16) dan Koki Watanabe (43).
Di bahagian beregu, walaupun tiga pemain utama - Takeshi Kamura, Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo - telah bersara selepas kekecewaan pada Olimpik Tokyo, skuad negara matahari terbit itu masih mempunyai pilihan kuat seperti beregu ranking ke-16 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Yuta Watanabe dan Akira Koga untuk memberi cabaran sengit.
Juara lima kali Malaysia, turun selaku ‘underdog’ pada edisi kali ini apabila dibarisi pemain muda yang diketuai oleh pemain nombor lapan dunia, Lee Zii Jia yang dilihat mampu mengatasi Momota, selepas memenangi dua daripada tiga pertemuan pada tahun ini di All England dan Piala Sudirman.
"Saya rasa Momota akan membuat persiapan yang bagus untuk pertemuan esok, dan sudah pasti saya pun untuk buat bahagian saya dan akan buat yang terbaik. Saya rasa tak mungkin Jepun (akan ambil risiko) menurunkan Kanta,” katanya.
Walaupun Zii Jia dan Aaron-Soh Yik dilihat mampu menghadiahkan mata buat Malaysia, namun untuk mengatasi Jepun, barisan pemain perseorangan kedua dan ketiga yang kemungkinan besar digalas oleh Leong Jun Hao, Cheam June Wei atau Ng Tze Yong, serta beregu kedua Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani juga perlu memainkan untuk mencuri mata.
Jepun dan Malaysia sudah pun mengesahkan slot ke suku akhir selepas masing-masing membenam Kanada 4-1 dan 5-0 selepas England tarik diri, dengan pertemuan esok bakal menentukan juara kumpulan.