KUALA LUMPUR – Formula kerjasama antara UMNO dan Pas merupakan jalan terbaik membentuk sebuah kerajaan Bumiputera yang stabil, malah adalah lebih berkesan sekiranya tidak lagi memikirkan kehadiran MCA dan MIC.
Penganalisis politik dan pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Kee Ping berpendapat, kehadiran MIC dan MCA tidak lagi berkesan bahkan tidak relevan dalam senario politik hari ini.
"UMNO dan Pas mesti bekerjasama, ini formula terbaik untuk dapatkan lebih kerusi atau mungkin membentuk kerajaan tanpa MCA dan MIC,” katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tinggal BN, perkara yang merugikan'
Kee Ping turut membayangkan, sekiranya terjadi pergolakan dalam PH, kesatuan UMNO dan Pas ini mungkin dapat bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mengandaikan mungkin akan terbentuk satu kerajaan baharu yang dipimpin Dr Mahathir dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersama Sabah yang diwakili oleh, Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala Sarawak pula oleh Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg tanpa kehadiran DAP dan PKR.
Beliau menjangkakan PKR mungkin akan bertukar menjadi parti bukan Melayu atau berpecah.
"Kalau jangkaan ini terjadi, akan wujud sebuah kerajaan Melayu dan tidak mustahil boleh menang pada PRU15 nanti.
"Bahkan, jika DAP tiada pilihan mesti sokong. Ini akan membentuk majoriti dua pertiga tanpa mengira MCA dan MIC,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, kerjasama antara UMNO dan Pas akan mewujudkan gambaran politik yang lebih stabil.
"Malah jika sesuatu berlaku dalam PH, mereka (Pas dan UMNO) boleh bekerjasama dengan Tun M.
"Ini akan mewujudkan sebuah kerajaan Bumiputera dan jika DAP masuk, mungkin akan jadi pakatan baharu. MCA dan MIC tak relevan dah, tak perlu fikir lagi,” katanya.
Beliau yakin dengan formula politik terbaharu ini, dan membayangkan hasil kesepakatan 65 peratus Bumiputera akan membentuk kerajaan tanpa Cina dan India.
"65 peratus Bumiputera jadi kerajaan tanpa Cina dan India, menuju kestabilan politik.
"Kalau DAP masuk ia jadi lebih baik, akan membentuk kerajaan yang berkesan,” katanya.