Pengusaha bengkel kurang terima pelanggan

Iklan
Suasana di bengkel tayar, pelanggan semakin bertambah sejak beberapa hari lalu.

TEMERLOH - Rata-rata pengusaha bengkel di Mentakab mendakwa permintaan pelanggan untuk menyelenggara kenderaan mereka masih kurang meskipun kerajaan telah membenarkan aktiviti rentas negeri pada Isnin.

Salah seorang pengusaha bengkel motosikal yang ditemui, Tee Kin Meng, 60, berkata, permintaan pengguna untuk menyelenggara kenderaan masih hambar setakat ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masih belum ramai pelanggan yang datang menghantar kenderaan mereka di bengkelnya sejak kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri pada Ahad.

"Mungkin di bandar besar jumlah pelanggan sudah ramai, namun di sini pelanggan masih belum ramai dan saya berharap situasi ini kembali pulih seperti sebelum pandemik Covid-19," katanya yang telah terlibat dalam perniagaan itu sejak 30 tahun lalu.

Iklan

Tee Kin Meng

Bagi pengusaha alat ganti kenderaan, Kathy Long, 45, dia turut berdepan situasi apabila jumlah pelanggannya masih sama seperti sebelum ini dan tidak berlaku pertambahan sebagaimana yang diharapkan.

Iklan

"Mungkin di sini lebih ramai penduduk tempatan berbanding orang luar yang akan merentas negeri.

"Saya lihat situasinya masih sama seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan," katanya yang mengakui jualan terjejas hingga 50 peratus sepanjang pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, pengusaha bengkel tayar yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 58, pula memberitahu jumlah pelanggannya semakin meningkat dan gembira dengan situasi positif itu.

"Saya harap keadaan ini semakin baik selepas mengalami detik sukar akibat pandemik Covid-19. Selepas 30 tahun beroperasi, perniagaan kami sangat terkesan sejak wabak Covid-19 melanda negara," jelasnya.

Kin Meng mendakwa sambutan pelanggan masih perlahan biarpun pergerakan rentas negeri dibenarkan sejak Isnin lalu.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Zainuddin Othman, 47, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menyelenggara kereta miliknya kerana ingin pergi ke Kedah pada hujung minggu ini.

"Jadi saya ambil peluang ini untuk selenggara kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh nanti," jelasnya.

Bagi pekerja swasta, Ramlah Alias, 50, dia turut mengambil peluang menyelenggara kereta miliknya bagi memastikan keselamatan lebih terjamin buat dia dan keluarganya untuk merentas negeri ke Kuala Lumpur nanti.

Katanya, dia mengambil kesempatan cuti panjang sempena Maulidur Rasul untuk bercuti bersama keluarga untuk ke Kuala Lumpur setelah sekian lama berada di kampung.