Rakyat Malaysia sukar menyimpan setiap bulan

Iklan
Jumlah rakyat Malaysia yang menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyimpan wang pada setiap bulan meningkat .Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Jumlah rakyat Malaysia yang menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyimpan wang pada setiap bulan meningkat dua mata peratusan pada tahun ini kepada 21 peratus berbanding 19 peratus pada tahun lepas, menurut Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2021.

Pengasas Bersama dan Pengarah RinggitPlus, Hann Liew berkata, situasi krisis kredit itu disebabkan keadaan pandemik dan ekonomi semasa.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 21 peratus daripada rakyat Malaysia memberitahu kami bahawa mereka tidak dapat menyimpan satu sen pun pada setiap bulan, meningkat daripada 19 peratus responden pada tahun lepas.

"Mereka yang dapat menyimpan kurang daripada RM500 atau tidak dapat membuat sebarang simpanan adalah sebanyak 56 peratus pada tahun ini berbanding 49 peratus pada tahun lepas dan mereka yang dapat menyimpan RM1,500 atau lebih pada setiap bulan adalah sebanyak 15 peratus berbanding 20 peratus pada tahun lepas.

Iklan

"Secara ringkasnya, menyimpan lebih sukar daripada sebelumnya dan kita dapat mengaitkannya dengan pandemik dan keadaan ekonomi,” katanya pada acara RMFLS 2021 secara maya pada Rabu.

Kajian RMFLS 2021 melibatkan 3,000 responden dalam semua kumpulan pendapatan di Malaysia.

Iklan

Selain itu, Hann berkata, kajian tersebut turut mencatatkan penurunan peratusan yang besar dalam kalangan rakyat yang percaya simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka mencukupi untuk persaraan.

"Sebanyak 15 peratus daripada responden kami pada tahun ini menyatakan bahawa mereka percaya simpanan KWSP mereka mencukupi untuk persaraan berbanding 30 peratus pada tahun lepas - ini adalah penurunan yang besar.

"Sebanyak 85 peratus daripada responden berpendapat simpanan KWSP mereka sahaja tidak mencukupi untuk persaraan dan hampir separuh daripadanya - 45 peratus - menyatakan bahawa mereka belum memulakan sebarang perancangan persaraan - ini adalah metrik sama yang membimbangkan. Sama seperti tahun lepas, perbezaannya lebih besar daripada yang kami jangkakan,” katanya.

Kajian itu turut menunjukkan bahawa 52 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak akan dapat bertahan lebih daripada tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan; 44 peratus membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka dan 76 peratus percaya bahawa mereka mengawal wang mereka.

"Pada tahun ini, membina dana kecemasan menjadi alasan utama rakyat Malaysia untuk menyimpan wang,” katanya, sambil menambah pandemik telah mewujudkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia daripada tabiat kewangan yang lemah sebelum ini mengenai simpanan dan perbelanjaan.

Oleh itu, dalam mencari penyelesaian untuk mereka, katanya, RinggitPlus bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk memperkenalkan Pemeriksaan Kesihatan Kewangan RinggitPlus dan Perkhidmatan Perancang Kewangan RinggitPlus untuk membantu orang ramai melancarkan pengurusan kewangan mereka.

"Pemeriksaan Kesihatan Kewangan RinggitPlus adalah kaedah penilaian yang menilai kedudukan kewangan anda meliputi aliran tunai, pengurusan hutang, insurans dan pengurusan kekayaan.

"Produk kedua kami - Perkhidmatan Perancang Kewangan RinggitPlus - adalah perkhidmatan perancangan kewangan digital kami apabila anda boleh mendapat pakar yang bertauliah secara langsung dalam talian tanpa perlu pergi ke mana-mana,” katanya. - Bernama