5 terbunuh, 2 cedera serangan panah di Norway

Iklan
Lima terbunuh dan dua yang lain cedera dalam satu serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah di pusat bandar Kongsberg, kira-kira 82 km barat daya ibu kota Norway, Oslo pada Rabu, kata polis. - Foto Agensi

COPENHAGEN - Lima terbunuh dan dua yang lain cedera dalam satu serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah di pusat bandar Kongsberg, kira-kira 82 km barat daya ibu kota Norway, Oslo pada Rabu, kata polis.

Seorang daripada dua mangsa yang cedera adalah anggota polis berpakaian awam.

Iklan
Iklan

Kedua-dua mangsa kini dirawat di hospital, menurut maklumat yang disahkan oleh Ketua Polis daerah tenggara Oyvind Aas kepada Perbadanan Penyiaran Norway (NRK) pada Rabu malam.

"Sekitar pukul 18:13 waktu tempatan, polis menerima maklumat mengenai seorang individu yang bersenjatakan busur dan anak panah menyerang orang awam," lapor Xinhua memetik Aas dalam sidang media sebelumnya.

Iklan

Menurut ketua polis, suspek ditangkap di kawasan yang sama sekitar jam 18:40 waktu tempatan.

Berlaku pergelutan antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri sebelum ditangkap.

Iklan

"Berdasarkan maklumat yang kami ada, suspek bertindak sendirian. Berdasarkan kejadian itu, ia wajar dipertimbangkan sebagai serangan pengganas, namun terlalu awal untuk membuat kesimpulan,” kata Aas.

Polis belum dapat menentukan sama ada kejadian itu adalah serangan bermotif pengganas dan masih meneruskan pengawasan di kawasan itu.

Menurut Aas siasatan mengenai serangan itu masih berjalan. -Bernama