Guardiola gembira Foden sambung kontrak

Iklan
Foden. - Foto The Sun

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola gembira apabila bintang muda, Phil Foden telah bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan selama enam tahun bersama The Citizens baru-baru ini.

Menurut Guardiola, perkara berkenaan sudah pasti melegakannya kerana kehadiran Foden sangat diperlukan dalam membantu khususnya dalam membentuk jentera serangan mantap skuad kendaliannya itu.

Iklan
Iklan

"Sejak mula menyaksikan aksi Foden pada 2017 lalu saya sudah tertarik dan mahu membawanya ke Etihad dan kini dia telah menandatangani kontrak untuk beraksi di sini (Etihad) sehingga musim 2027.

"Ternyata usaha saya tidak sia-sia apabila Foden mempamerkan aksi yang baik bersama pasukan setakat ini dan dia turut membantu England mara ke final Euro 2020, Jun lalu.

Iklan

"Malah, dia juga membantu kejayaan kelab ini untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak tiga kali termasuk memastikan kelab ini beraksi di final Liga Juara-Juara musim lalu,” katanya.

Untuk rekod, Foden kini telah membuat 100 penampilan bersama City dalam semua pertandingan dan telah menjaringkan 33 gol.

Iklan

Foden juga turut berada dalam senarai 30 pemain yang disenarai pendek bagi anugerah Ballon d’Or bersama Kevin De Bruyne, Raheem Sterling, Ruben Dias dan Riyad Mahrez.

Sementara itu menurut Foden dia gembira kerana dapat melanjutkan kontraknya di Etihad kerana perkara itu memang menjadi impiannya sejak kanak-kanak.

"Ketika masih kecil dahulu, saya sering memasang impian untuk beraksi bersama City dan pada hari ini, ia sudah pun menjadi kenyataan.

"Pastinya ia sesuatu yang hebat apabila saya dapat beraksi untuk kelab yang saya sokong dan minati sejak sekian lama,” katanya.