MANILA - Angka kematian akibat ribut tropika Kompasu meningkat kepada 19 orang dan 13 orang masih hilang, kata kerajaan pada Khamis.
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional menyebut angka kematian boleh meningkat ke 30 orang, sambil mengesahkan laporan mengenai 11 kematian lain dan satu hilang akibat tanah runtuh dan banjir di wilayah utara Filipina dan Palawan, sebuah wilayah pulau yang terletak di luar pulau Luzon, lapor Xinhua.
Ribut tropika itu, yang bergerak meninggalkan Filipina pada Selasa, mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh menyebabkan hampir 2,000 orang dipindahkan ke tempat selamat.
Menurut agensi itu, kerosakan paling besar adalah di wilayah utara Filipina. Kemusnahan tanaman pertanian di kawasan itu dianggarkan bernilai AS$9.7 juta (RM40.32 juta).
Badai tropika Kompasu yang melanda Filipina pada Isnin, adalah taufan tropika ke-13 yang membadai negara itu tahun ini.
Taufan dan ribut tropika kerap melanda kepulauan Filipina, yang terletak di lingkaran laluan angin taufan di barat Pasifik, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion-bilion dolar.
Kira-kira 20 taufan melanda Filipina setiap tahun. Daripada pulau-pulau yang membentuk Filipina, Luzon utara dan Visayas timur di Filipina tengah adalah yang paling sering terjejas. -Bernama