SHAH ALAM - Siapa sangka dengan membeli barangan di kedai perkakas rumah MR D.I.Y, pegawai perkhidmatan pelanggan, Syed Muhd Tirmizi memenangi hadiah utama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dalam peraduan ‘MR D.I.Y x P&G Buy & Win 2.0.
Peraduan itu dianjurkan oleh peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR. D.I.Y) dan Procter & Gamble Sdn Bhd (P&G).
Menurut Syed Muhd, 27, yang berasal dari Sarawak, dia amat terkejut ketika mendapat tahu mengenai kemenangan tersebut kerana tidak pernah memenangi apa sahaja peraduan yang disertainya selama ini.
"Saya akan menghadiahkan kereta ini kepada ibu bapa saya. Saya telah mempunyai kereta sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain Syed Muhd, seramai 556 pemenang bertuah telah membawa pulang hadiah yang menarik antaranya pemenang tempat pertama peraduan itu, Ariff Kamis @ Shariff dan Cheong Li Shuan membawa pulang iPhone 12 Pro Max.
Seramai empat peserta telah memenangi tempat kedua peraduan itu yang berjaya membawa pulang iPad manakala 550 pemenang menerima baucar tunai MR D.I.Y bernilai RM100.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR. D.I.Y, Andy Chin berkata, pihaknya mahu memberikan pengalaman terbaik dan menghargai pelanggan yang sentiasa menyokong peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia itu.
Untuk mendapatkan senarai penuh nama pemenang, pelanggan boleh menyemak di laman Facebook rasmi MR. D.I.Y.