Malaysia sumbang RM5 juta, bangun semula Klinik Al-Rimal di Gaza

Iklan
Saifuddin (dua dari kiri) dan Walid (dua dari kanan) ketika menandatangani Nota Pertukaran sumbangan di Wisma Putra, Putrajaya pada Khamis.

SHAH ALAM - Malaysia akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM5 juta kepada kerajaan Palestin bagi pembinaan semula Klinik Al-Rimal yang menempatkan makmal pengujian Covid-19 di Gaza yang musnah akibat serangan Israel pada Mei lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sumbangan tersebut menggunakan peruntukan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Perdana Menteri.

Iklan
Iklan

"Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Nadma dan semua rakan lain yang membantu melunaskan usaha murni yang kita laksanakan pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Pertukaran (Exchange of Notes) sumbangan berkenaan di Wisma Putra, Putrajaya pada Khamis.

Turut bersama Saifuddin untuk menandatangani Nota Pertukaran itu ialah Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Iklan
Saifuddin

Mengulas lanjut, beliau berharap sumbangan kecil yang diberikan itu dapat membantu meringankan penderitaan dialami oleh penduduk Palestin.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengumumkan sumbangan jangka panjang Malaysia kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) yang berjumlah AS$1 juta untuk pemberian bantuan kemanusiaan terhadap pelarian Palestin.

Iklan

Katanya, sumbangan berjumlah AS$200,000 akan disalurkan secara tahunan bagi tempoh lima tahun dari 2021 sehingga 2025.

Sementara itu, Walid turut melahirkan penghargaan terhadap sumbangan diberikan kerajaan Malaysia yang menurutnya sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin sama ada di peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa situasi semasa penularan Covid-19 di Palestin ketika ini sudah berada dalam keadaan terkawal.