KUALA LUMPUR - Bajet 2022 akan diperkembangkan dan meletakkan asas kepada usaha pembaharuan kerajaan yang lebih luas dan bagi jangka panjang dengan menjadikan kelestarian yang berterusan sebagai fokus utama, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, bajet itu akan menumpukan kepada 3R iaitu mempercepat pemulihan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memangkinkan pembaharuan.
Berdasarkan sesi libat urus merentasi banyak sektor, beliau berkata kerajaan akan terus merancang inisiatif bajet kepada Matlamat Pembangunan Lestari.
"Bantuan kewangan akan diteruskan kepada mereka yang paling terjejas terutamanya kumpulan B40, penganggur dan golongan rentan.
"Sokongan kepada perniagaan akan kekal kukuh sama ada menerusi skim pembiayaan mampu milik atau akses yang lebih baik kepada kredit atau geran, bagi menyokong operasi di samping mendorong mereka menuju automasi dan digitalisasi,” katanya pada Invest Malaysia 2021 yang diadakan secara maya pada Khamis.
Tengku Zafrul berkata, peningkatan fokus kepada kelestarian dan meningkatkan daya tahan aset alam sekitar dan air Malaysia akan wujud berikutan tumpuan yang semakin bertambah terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sasaran pelepasan sifar bersih dan kemajuan selanjutnya dalam ekonomi kitaran.
Kerajaan juga akan menambah baik pasaran buruh antaranya dengan menumpukan kepada insentif pengambilan selain upah subsidi, di samping meningkatkan kehematan fiskal dengan meningkatkan proses perolehan dan pengurusan hutang serta mempertingkat langkah penguatkuasaan cukai, katanya.
Berlandaskan prinsip ketelusan, baru-baru ini Kementerian Kewangan (MoF) buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia memperkenalkan kenyataan prabajet dan empat kertas konsultasi.
Sehingga kini, ia telah menerima lebih 1,000 maklum balas dan komen mengenai Bajet 2022.
Sementara itu, bagi melengkapkan insiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh), Tengku Zafrul mengumumkan penubuhan Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam (PLCT) yang menyasarkan pelaksanaan prestasi tinggi untuk korporat Malaysia.
Beliau berkata, inisiatif yang akan diterajui Bursa Malaysia Bhd itu menumpukan kepada peningkatan lima tonggak Syarikat Senaraian Awam (PLC) -- untuk dipacu prestasi; berkembang sebagai organisasi lestari, bertanggungjawab secara sosial dan beretika; bercirikan memperkukuh tadbir urus korporat; kebolehan digital; dan menyokong usaha membina negara untuk memajukan ekonomi dan komuniti rakyat Malaysia.
"PLCT akan berlangsung mulai 2021 hingga 2025. Ia akan menyaksikan kemajuan PLC dalam pelbagai bidang termasuk membina kedudukan kewangan yang kukuh dan meningkatkan komposisi dalam ahli lembaga, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyumbang kepada agenda negara,” katanya.
Sehubungan itu, Tengku Zafrul menggesa semua PLC untuk menyokong program ini bagi menambah baik korporat Malaysia, pasaran modal dan ekonomi.
Katanya, secara kolektif, usaha-usaha ini daripada Perkukuh sehinggalah kepada Aspirasi Pelaburan Nasional, akan memastikan asas ekonomi Malaysia menjadi lebih teguh, di samping meletakkan negara di laluan kemakmuran, inklusif dan kelestarian. - Bernama