KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan rakannya maut dalam kemalangan di Jalan Lintas, Metrotown pada awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Azrini @ Azrin Abu Bakar, 42, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dan rakannya, Dylevia Dewalter, 38, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth Elizebeth II (HQEII).
Iklan
Iklan
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan jenis Nissan Almera yang dipandu rakan mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Citymall menuju ke Jalan Tuaran Bypass terbabas sebelum merempuh pokok di tengah jalan berkenaan.
"Kedua-dua mangsa dikatakan tercampak keluar dari kenderaan sebelum ditemui di dalam longkang pembahagi jalan.
"Kedua-dua mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan HQEII sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.
George berkata, ketika kejadian keadaan jalan lengang dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.