RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan hasil rondaan menggunakan dron yang dilakukan di kawasan Pengkalan Haram Syed Agil, di sini pada Rabu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan jam 8 malam itu, pihaknya telah mengesan sekumpulan lelaki sedang memunggah bungkusan barangan dalam keadaan mencurigakan.
Iklan
Iklan
"Menyedari kehadiran anggota PGA, kesemua lelaki tersebut bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menyeberangi sungai.
"Pemeriksaan di kawasan sekitar mendapati terdapat satu perahu yang berisi pelbagai jenis barang kontraban di tebing Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui 28 helai pelbagai jenis pakaian bernilai RM2,700 dan kelengkapan tidur sebanyak 35 unit bernilai RM1,500.
Azhari berkata, pihaknya mengesyaki kesemua barang tersebut diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
Katanya, kesemua barang tersebut dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.