KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kembali membenarkan pelaksanaan solat Jumaat mengikut kapasiti sebenar masjid di seluruh negeri berkuat kuasa pada Jumaat.
Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu merangkumi masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim.
"Selain itu, solat fardu mengikut kapasiti masjid turut dibenarkan termasuk musala dan madrasah bermula Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau bagaimanapun berkata, kedudukan antara jemaah masih berdasarkan penjarakan fizikal iaitu 1.5 meter.
"Selain itu, seluruh kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir untuk menunaikan solat wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin Covid-19.
Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, jemaah yang hadir ke masjid perlu menunjukkan bukti sijil digital vaksin menerusi aplikasi MySejahtera kepada petugas masjid.
"Bagi penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.
"Penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan," jelas beliau.
Beliau berkata, jemaah juga diwajibkan memakai pelitup muka sebanyak dua lapis dan membawa sejadah sendiri dari rumah.
Selain itu, katanya, jemaah juga digalakkan mengambil wuduk di rumah sebelum datang ke masjid.
"Pihak masjid turut diingatkan supaya membuka semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat.
"Penggunaan pendingin hawa di masjid, surau dan musala adalah tidak digalakkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Rizam berkata, semua aktiviti-aktiviti lain seperti majlis-majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas serta lain-lain aktiviti masih belum dibenarkan.
"Bagaimanapun, kelas-kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan agar pengimarahan masjid dapat diteruskan.
"Pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini," katanya.