'Umpama di medan perang'

Iklan
Anggota Tentera Darat Malaysia menunjukkan kekuatan perisai jenis ACV 300 ADNAN- 81 mm Mortar ketika sesi Latihan Kuasa Tembakan 2021 yang dianjurkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada Khamis. - Foto Bernama

TAMPIN - Lapang Sasar Asahan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada Khamis digegarkan dengan bunyi dentuman tembakan dan bom serta diliputi kepulan asap, bersempena Latihan Kuasa Tembakan (LKT) tahun ini anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Umpama berada di medan perang, senario sedemikian melibatkan penyertaan 969 pegawai dan anggota, serta disokong 106 buah aset dan persenjataan melibatkan kenderaan Perisai Pendekar, Gempita, Lipan Bara, Adnan dan ‘Malaysian Infantry Fighting Vehicle’ (MIFV).

Iklan
Iklan

Aksi berkenaan berlangsung hampir tiga jam bermula jam 10 pagi tadi turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Selain itu turut dipertontonkan adalah aset persenjataan yang merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar antaranya Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5 dan Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe.

Iklan

Ruang udara turut menyaksikan pertunjukan pesawat seperti helikopter Super Lynx daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipasang dengan persenjataan HMG dan helikopter Agusta A109 LOH bersama 'Gatling Gun' dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Anggota Tentera Laut menunjukkan kekuatan Helikopter Super Lynx ketika sesi Latihan Kuasa Tembakan 2021 yang dianjurkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada Khamis. - Foto Bernama

Sementara itu, Affendi berkata, latihan tersebut diadakan untuk mempamerkan keupayaan 'Combined Arms ATM' dalam 'maneuver' dan kuasa tembakan melibatkan 106 aset sistem bantuan yang merangkumi senjata bantuan Infantri, Mekanise, Armor, Artileri, PUTD dan pesawat daripada TLDM serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Iklan

Jelasnya, latihan berkenaan secara tidak langsung mempamerkan kredibiliti ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

"Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiapsiagaan ATM tidak terjejas, walaupun tumpuan kini diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu negara menangani penularan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, pada Khamis.

Katanya, ATM terus mengukuhkan pembangunan modal insan dan kompetensi melalui kelangsungan pelbagai kursus dan latihan ketenteran yang dirancangkan, kerana ia adalah pelaburan berterusan memastikan pemerkasaan keupayaan pengendalian pelbagai peralatan dan persenjataan berteknologi tinggi.

ATM jelas beliau, mempunyai perancangan strategik dalam meningkatkan keupayaan pertahanan namun apa lebih penting adalah untuk menentukan sokongan operasi bagi aset pertahanan bakal diperoleh pada masa hadapan. -Bernama