Malaysia ke suku akhir biarpun tewas

Iklan
Jun Hao

SKUAD Piala Thomas tetap berjaya ke suku akhir biarpun tewas 1-4 kepada Jepun pada aksi kedua peringkat kumpulan di Arena Ceres, Aarhus Denmark hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Jepun layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan D, manakala skuad negara sekadar berpuas hati apabila muncul selaku naib juara pada edisi kali ini.

Iklan
Iklan

Aksi perseorangan pertama menyaksikan saingan sengit antara juara All England 2021, Lee Zii Jia dan pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

Pada pertemuan yang berlarutan selama sejam dua puluh minit itu, Zii Jia dilihat mempamerkan aksi cemerlang bagi memenangi set pertama 21-15.

Iklan

Bagaimanapun, Momota dilihat mempamerkan kebangkitan bagi memenangi set kedua 21-12 bagi mengheret pertemuan berkenaan ke set penentuan.

Zii Jia hampir memenangi pertemuan berkenaan apabila mendahului 20-18 pada satu ketika; namun Momota dilihat menggunakan sepenuh pengalaman yang dimilikinya untuk mengejar kedudukan mata dan seterusnya meraih mata pertama buat Jepun.

Iklan

Skuad badminton negara kemudiannya mengalami kekalahan kedua pada pertemuan berkenaan apabila gandingan nombor lapan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tewas 13-21,13-21 kepada gandingan beregu rakning ke-16 dunia, Takuro Hoki-Tugo Kobayashi.

Beregu Jepun itu dilihat mendominasi hampir keseluruhan permainan dengan aksi pantas hingga menyaksikan gandingan beregu negara banyak melakukan kesilapan sebelum tewas dalam masa 37 minit.

Jepun melebarkan penguasaan apabila pemain perseorangan keduanya yang juga pemain ranking ke-16 dunia, Kanta Tsuneyama menewaskan pemain perseorangan kedua negara, Cheam June Wei, 22-20, 20-13 dalam masa 48 minit.

Biarpun berjaya memberikan tentangan pada set pertama, June dilihat banyak melakukan kesilapan pada set kedua selain gagal menyaingi rentak Tsuneyama yang sekali gus meraih mata ketiga buat Jepun.

Jepun meraih mata keempat apabila beregu keduanya, Akira Koga-Yuta Watanabe menewaskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21- 10, 21-16.

Setelah tewas pada set pertama, gandingan Sze Fei-Nur Izzuddin dilihat berjaya memberikan tentangan pada set kedua, namun akhirnya terpaksa akur dengan aksi yang dipamerkan Koga-Watanabe sebelum tewas dalam masa 39 minit.

Aksi perseorangan ketiga menyaksikan pemain muda Leong Jun Hao yang juga pemain ranking 135 dunia berdepan pemain ranking kesembilan, Kenta Nishimoto.

Bagaimanapun Jun Hao dilihat mempamerkan aksi cemerlang pada pertemuan berkenaan bagi mencatatkan kemenangan 21-19, 21-18 dalam masa 51 minit.

Pada saingan suku akhir esok, Malaysia dijadualkan berdepan juara Kumpulan A Indonesia.