Hubungan Malaysia-Singapura kekal baik: MB Johor

Iklan
Osman Sapian

ISKANDAR PUTERI - Sebarang isu berbangkit akan diselesaikan di meja rundingan demi memastikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura terus terpelihara.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan segala konfrontasi atau konflik yang timbul tidak akan memberi kesan kepada hubungan baik dua negara berjiran sejak sekian lama.

Iklan
Iklan

"Tidak dinafikan, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura kekal baik biarpun terdapat beberapa isu serta pertikaian antara dua negara berjiran ini,” katanya pada Mesyuarat Keempat Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Singapura komited selesai isu dua hala dengan Malaysia

Iklan

Osman berkata, Kerajaan Persekutuan, melalui Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawat di Singapura berkaitan isu berbangkit, termasuk pertikaian ruang udara dan perairan antara dua negara yang masih berterusan dan berjalan dengan baik.

Katanya, beliau yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jalan penyelesaian yang akhirnya memberi manfaat kepada kedua-dua negara akan ditemukan.

Iklan

"Berdasarkan kepentingan bersama dan memastikan kelangsungan dalam meneroka prospek kerjasama antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata, beberapa siri pertemuan juga telah diadakan oleh Kerajaan Johor bersama Kerajaan Persekutuan dan yang terkini pertemuan pada September 2018 yang lalu.

"Objektif utamanya adalah bagi memastikan hubungan dua hala antara dua negara ini sentiasa dijaga dan dihormati,” katanya.

Osman berkata, Kerajaan Johor dan Singapura sentiasa menjaga hubungan rapat biarpun dilanda pelbagai isu, terutamanya di dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

"Sehingga hari ini, kerajaan negeri secara berterusan mengadakan sesi-sesi libat urus bersama para pelabur, dewan perniagaan persekutuan, industri serta syarikat-syarikat Singapura.

"Hasilnya, Singapura merupakan negara pelabur kedua terbesar yang menjadi rakan dagang di Malaysia dan sebahagian daripadanya telah memberikan manfaat terhadap peningkatan taraf pendapatan bagi penduduk negeri Johor,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, isu hubungan Malaysia dan Singapura bagai ‘menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak’.

"Saya yakin kami, di pihak kerajaan dapat menyelesaikannya tanpa memberi kesan terhadap kedua-dua negara,” katanya.