JWN jalankan ekskavasi, dokumentasi lukisan purba dan tengkorak

Iklan
Salah seorang kakitangan JWN menunjukkan fosil tengkorak manusia purba yang ditemui di Bukit Keteri.

PADANG BESAR - Jabatan Warisan Negara (JWN) akan menjalankan ekskavasi dan dokumentasi lukisan purba di Gua Semadong serta kerja-kerja penyelamatan tengkorak manusia yang ditemui di Bukit Keteri.

Pesuruhjaya JWN, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, kedua-dua artifak itu ditemui hasil eksplorasi arkeologi oleh JWN bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Persatuan Mendaki Negeri Perlis di kawasan berkenaan pada Julai tahun lepas.

Iklan
Iklan

Katanya, eksplorasi itu bertujuan untuk menjalankan pendokumentasian dan inventori tapak bagi memperoleh data arkeologi terkini tapak, di samping mengekplorasi dengan lebih lanjut sebarang kemungkinan jumpaan artifak yang masih belum diterokai oleh penyelidik terdahulu.

"Data arkeologi ini dapat menyokong dan menambahkan lagi data yang telah dibina sebelum ini yang membuktikan pada suatu ketika dahulu Perlis merupakan laluan perdagangan dan jalan utama yang digunakan oleh masyarakat prasejarah.

Iklan

"Malah di Gua Semadong ini kita turut menemukan lukisan gua zaman proto sejarah yang mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga abad kesepuluh Masihi," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di dua lokasi penemuan artifak di Bukit Keteri dan Gua Semadong di sini pada Khamis.

Mohd Azmi yang juga Ketua Pengarah JWN berkata, berdasarkan kajian lepas yang telah dibuat di sekitar gua-gua di Perlis, serpihan rangka dan tengkorak yang dijumpai di Bukit Keteri dianggarkan berusia sekitar 5,000 hingga 10,000 tahun lalu.

Salah seorang peserta yang membuat tinjauan bersama JWN menunjukkan lukisan purba yang terdapat di dinding Gua Semadong pada Khamis.

Iklan

"Gua-gua di Perlis terutamanya di kawasan Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu, Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul telah digunakan sebagai tapak penempatan dan pengebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan jumpaan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.

"Kawasan itu bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah di mana artifak seperti kalam semah (votive tablet) turut ditemui di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, JWN turut mengharapkan kerjasama daripada orang ramai dan kerajaan negeri agar tapak tersebut terus dipelihara bagi tujuan kajian lanjut selepas ini.

"Selain itu, saya juga berharap orang ramai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah kepada pegawai daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47 AWK 2005," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Mendaki Negeri Perlis, Mohd Aizat Zahid berkata, fosil tengkorak itu kelihatan seakan-akan batu ketika kali pertama ditemui pada September 2018 semasa membuat laluan mendaki cenuram.

Katanya, Presiden Persatuan Mendaki Negeri Perlis, Zainol Din kemudiannya menggunakan berus untuk membuang debu di kawasan itu sebelum ternampak satu bentuk tengkorak manusia.

"Saya sangat berharap satu kajian terperinci dapat dijalankan segera untuk memastikan semua fosil yang ditemui ini dapat dipelihara dengan baik sebagai salah satu sejarah di negeri Perlis," katanya.